Kes rasuah Muhyiddin: Pendakwaan akan tunjukkan Menteri Kewangan bertindak ikut minit tertuduh

Tarikh: 09/03/2026
img

KUALA LUMPUR: Pendakwaan dalam kes salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan program Jana Wibawa antara enam dan tujuh tahun lalu, akan menunjukkan Menteri Kewangan ketika itu hanya bertindak berdasarkan minit mesyuarat oleh Presiden BERSATU itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam ucapan pembukaan beliau di Mahkamah Tinggi pagi ini, berkata Menteri Kewangan tidak mendapat apa-apa keuntungan di dalam membuat tindakan itu, begitu juga dengan sekutunya, iaitu parti UMNO.

Menteri Kewangan ketika itu ialah Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, keterangan akan menunjukkan, jika tidak kerana Muhyiddin menjadi Presiden BERSATU dan juga pada masa yang sama menjadi Perdana Menteri waktu itu, BERSATU tidak akan mendapat sumbangan berjuta-juta ringgit.

"Kami akui bahawa wang berjuta-juta ringgit sememangnya tidak masuk ke dalam poket tertuduh sendiri, tetapi masuk ke dalam akaun sekutunya iaitu Parti BERSATU di mana tertuduh adalah Presiden pada waktu itu dan juga Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan secara tidak langsung kepada Projek Jana Wibawa ini.

"Kami akan bergantung kepada keterangan daripada dokumen bertulis atau rekod, keterangan terus dan keterangan ikut keadaan dalam membuktikan kes kami. Kami akan memanggil lebih kurang 30 orang saksi.

"Di dalam membuktikan suatu kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) kami hanya akan bergantung kepada anggapan undang-undang mengikut Seksyen 23 (2) akta yang sama," katanya.

Wan Shaharuddin berkata, Muhyiddin menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM dan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). iaitu pertuduhan berkenaan kesalahan penggubahan wang haram.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu ini sebelum bersambung semula selama empat hari pada tarikh seterusnya 13 April ini.

Pada 7 Oktober 2025, Jabatan Peguam Negara menolak representasi Muhyiddin bagi menggugurkan tujuh pertuduhan terhadapnya.

Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden BERSATU, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1)

AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel