Kes rasuah di Melaka terendah di negara ini

Tarikh: 26/11/2026
img

MELAKA: Melaka mencatatkan tahap perlakuan rasuah terendah di negara ini berdasarkan Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam 2025 dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, berkata pencapaian itu mencerminkan hasil usaha kerajaan negeri memperkukuh langkah pencegahan rasuah, antaranya menerusi Pelan Antirasuah Negeri Melaka 2022-2026.

Beliau berkata, pelan itu menjadi kerangka untuk mengenal pasti risiko rasuah serta menambah baik sistem dan tatacara kerja dalam perkhidmatan awam negeri.

"Dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan, prinsip integriti tidak boleh sesekali dikompromi terutama dalam soal penguatkuasaan, pengurusan kewangan dan perolehan awam.

"Setiap keputusan mesti dibuat dengan adil, setiap ringgit wang rakyat diurus dengan berhemah dan setiap tindakan hendaklah bebas daripada kepentingan peribadi," katanya ketika melancarkan Laman Integriti sempena Sambutan Hari Integriti Nasional 2026 di Banda Hilir di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri, Jezlee Pit.

Ab Rauf berkata, peluncuran Laman Integriti bertujuan membawa integriti lebih dekat dengan masyarakat, di samping menyokong usaha membudayakannya dalam kalangan warga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Beliau berharap kerjasama MBMB dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) diperkukuh menerusi program latihan, penilaian risiko rasuah dan penambahbaikan sistem kerja.

Katanya, pembabitan murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam sambutan bertemakan 'Integriti Tanpa Kompromi, Teras Keperibadian Mulia' itu memberi ruang untuk menyemai nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab sejak usia muda.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel