Kes pegawai kanan DBKL disyaki rasuah: SPRM siasat pembelian hartanah, kondo

Tarikh: 28/08/2025
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat transaksi pembelian hartanah dikaitkan dengan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini direman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata individu berkenaan adalah pegawai gred Jusa B yang menduduki jawatan tinggi di bawah pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur.

"Dia antara pengarah kanan di bawah pejabat Datuk Bandar. Sebahagian siasatan SPRM kini membabitkan pembelian hartanah, terutamanya sebuah kondominium yang dikaitkan dengannya," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini dan menambah, SPRM masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Semalam, media melaporkan tiga individu termasuk seorang pegawai kanan DBKL berusia lingkungan 50-an direman empat hari kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah, dipercayai sejak 11 tahun lalu. Dia ditahan sekitar jam 4 petang di pejabatnya.

Difahamkan dua individu lain, masing-masing seorang pemilik syarikat dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 1 hingga 2 petang.

Ketiga-tiga mereka dipercayai terbabit rasuah sejak 2014 dengan pemilik syarikat disyaki membayar sogokan kepada pegawai PBT berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi itu.

SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan Lexus RX500h serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermès dan Louis Vuitton. Sebanyak 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat membabitkan nilai lebih RM7 juta turut dibekukan.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel