Kes mahkamah Ahmad Zahid 'modal basi' pilihan raya

Tarikh: 06/07/2026
img

KOTA TINGGI: Barisan Nasional (BN) menyifatkan tindakan terus membangkitkan kes mahkamah membabitkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai 'modal basi' yang tidak lagi memberi kesan kepada pengundi.

Timbalan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata pembangkang terus mengitar semula isu berkenaan walaupun proses perundangan sudah melalui pelbagai peringkat, malah sebahagian pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sudah diputuskan mahkamah.

Beliau berkata, pengundi Johor kini lebih berminat melihat tawaran dasar dan penyelesaian isu rakyat berbanding polemik lama yang diulang setiap kali musim pilihan raya.

"Modal basi.… Jadi saya tahulah itu hasrat Tun Mahathir (Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) pada tahun 1996… pada pandangan saya apa yang ingin dibuat Tun Mahathir pada 2018 apabila beliau menyuruh bubarkan UMNO.

"Tun Mahathir sendiri menyebut, saya minta Zahid bubarkan UMNO tetapi kerana Datuk Zahid tidak mahu membubarkan UMNO, itu kes dia diwujudkan," katanya selepas beramah mesra bersama penduduk di Wisma GPW FELDA Air Tawar 2, di sini petang semalam.

Beliau mengulas tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membangkitkan kes mahkamah Ahmad Zahid ketika berucap dalam sebuah ceramah malam kelmarin.

Terdahulu Muhyiddin dalam Ceramah Rapat Orang Sedili di Kampung Mawai Baru, di sini, mendakwa Ahmad Zahid memilih bergabung dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk Kerajaan Perpaduan supaya kedudukannya lebih selamat.

Ahmad berkata, 47 pertuduhan yang masih dibangkitkan pihak lawan sudah diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), sekali gus menyifatkan isu berkenaan tidak lagi wajar dijadikan bahan kempen.

"Sebanyak 47 kes itu sudah NFA. Kenapakah 'no further action'? Kerana wang yang digunakan itu tidak ada bukti ia membabitkan rasuah.

"Itu perkara yang penting untuk kita ketahui. Peguam Negara sendiri yang menyebut 'no further action'," katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, Ahmad Zahid turut dibebaskan dan dilepaskan daripada 40 pertuduhan lain yang didakwanya tidak membabitkan wang kerajaan, sebaliknya berkaitan dana sebuah yayasan milik presiden UMNO itu.

Ahmad turut merujuk isu pembelian dua banglo di Country Heights yang pernah dibangkitkan dalam prosiding mahkamah dan mendakwa premis berkenaan digunakan bagi tujuan tahfiz serta pembelajaran agama, bukannya kegunaan peribadi ahli keluarga Ahmad Zahid.

"Jadi kadang-kadang kita melihat perkara sedemikian hanya persepsi yang diberikan terhadap Datuk Zahid.

"Ini pada pandangan saya kes politik sahaja," katanya.

Ahmad turut mengaitkan pengalaman dirinya serta bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad yang berdepan prosiding mahkamah, berbeza dengan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang didakwanya tidak berdepan tindakan sama.

"Saya dan Shahrir melawan (mahkamah), manakala Mas Ermieyati tidak kena apa-apa tindakan. Kenapa? Sebab dia serah borang masuk parti BERSATU kepada Tun Mahathir.

"Kalau hari itu saya pun serah borang masuk BERSATU, tidak adalah saya kena naik turun mahkamah tetapi sekarang, alhamdulillah saya dan Shahrir sudah pun lepas dan bebas," katanya.


Sumber : Beita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel