KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi penjelasan berhubung serbuan ke atas beberapa premis miliknya, baru-baru ini.
Beliau juga mempersoalkan tindakan itu biarpun memberi kerjasama penuh apabila pulang ke Kuala Lumpur untuk memberi keterangan, pada 29 Disember lalu.
Kerjasama itu, katanya, diberikan selepas beliau diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan 'mafia korporat' yang dikaitkan dengannya.
"Saya sudah memberi keterangan penuh kepada PDRM, selain direman selama tiga hari di bawah Pasukan Petugas Khas, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) sebelum dibebaskan selepas tempoh berkenaan tamat.
"Pasukan petugas berkenaan juga maklum mengenai lokasi keberadaan saya dan mempunyai saluran untuk menghubungi saya pada bila-bila masa. Justeru, mengapa masih ada keperluan untuk menyerbu rumah saya?
"Pihak berkuasa manakah pula yang akan datang seterusnya, dan berapa banyak lagi agensi yang akan terbabit dalam perkara ini?
"Saya juga sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dengan menjelaskan secara terperinci peranan serta kedudukan saya dalam perkara ini, yang sepatutnya sudahpun diketahui pihak PDRM," katanya dalam kenyataan hari ini.
PDRM serbu beberapa premis Victor Chin
PDRM semalam mengesahkan serbuan dibuat di beberapa premis milik Victor Chin, di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang, Jumaat lalu.
Serbuan bersama Suruhanjaya Sekuriti (SC) itu dibuat bagi membantu siasatan kes di bawah AMLA.
Antara yang dirampas ketika serbuan ialah dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia (RM) dan mata wang asing, selain dokumen berkaitan siasatan.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dalam kenyataan berkata Kabinet mengarahkan beberapa agensi penguat kuasa termasuk PDRM, SC, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan siasatan terperinci berhubung isu manipulasi korporat.
Victor Chin berkata, tindakan pihak berkuasa menyerbu kediamannya mewujudkan suasana tidak sihat susulan pelbagai tuduhan disifatkan tidak berasas dilemparkan ke atas beliau.
"Pihak berkuasa manakah pula yang akan datang seterusnya, dan berapa banyak lagi agensi yang akan terbabit dalam perkara ini?
"Kediaman saya diserbu sebagai sebahagian daripada siasatan sedang dijalankan. Dalam operasi terbabit, tiga kenderaan milik syarikat saya bersama beberapa harta dan barangan berharga lain disita," katanya.
Mengulas lanjut, Victor Chin berkata, peguam daripada firma Krish Maniam & Co Advocates & Solicitors dilantik bagi mewakili tokoh perniagaan itu.
"Pelantikan peguam ini bagi memastikan kebenaran dapat diketengahkan sewajarnya.
"Semua bukti dan dokumen sokongan menunjukkan saya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti didakwa 'Mafia Korporat' akan diserahkan kepada pihak peguam, selepas Khamis ini," katanya.
Sumber : Berita Harian Online