Kes Jana Wibawa terhadap Muhyiddin masih diteruskan - Peguam Negara

Tarikh: 17/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, menegaskan pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), masih diteruskan di mahkamah.

Mohd Dusuki berkata, keputusan untuk tidak meneruskan empat pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu hanya membabitkan Bukhary Equity Sdn Bhd kerana ia tiada kaitan dengan Jana Wibawa.

Menurut Mohd Dusuki, terdapat banyak kekeliruan ketika beliau diminta mengulas mengenai desakan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, supaya menjelaskan keputusan menghentikan empat pertuduhan ke atas Muhyiddin.

"Ramai salah faham, kes Bukhary Equity ini tiada kena mengena dengan Jana Wibawa, kes Jana Wibawa kami teruskan.

"Bukan menjawab secara spesifik terhadap mana-mana pihak, tetapi menjelaskan secara umum mengenai kes ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Gobind dilaporkan berkata, Mohd Dusuki wajar memberikan penjelasan terperinci berhubung permohonan perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) yang dipohon pendakwaan, yang akhirnya membawa kepada pembebasan penuh (DAA) Muhyiddin daripada keempat-empat tuduhan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Digital berkata, ini kerana ketelusan amat penting memandangkan perbicaraan kes berprofil tinggi yang meraih tumpuan awam itu sudah hampir ke penghujungnya.

Semalam, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan empat pertuduhan terhadap Muhyiddin berkaitan Bukhary Equity Sdn Bhd dibuat berdasarkan penilaian profesional terhadap keterangan dan kebolehbuktian kes serta kepentingan keseluruhan pendakwaan.

Keputusan berkenaan tidak bermaksud pertuduhan itu dibuat tanpa asas dan tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu dapatan bahawa transaksi yang menjadi subjek siasatan, tidak berlaku.

AGC berkata, keputusan pendakwaan boleh dan perlu dinilai semula apabila keseluruhan keterangan, kebolehterimaan keterangan, kredibiliti saksi dan implikasi terhadap prosiding lain dinilai secara menyeluruh.

Katanya, ia mesti dibuat berdasarkan undang-undang, keterangan dan kepentingan pentadbiran keadilan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, melepas dan membebaskan (DAA) Muhyiddin daripada pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya empat daripada tujuh kes dihadapi Muhyiddin diberi perintah DAA.

Bagaimanapun, Noor Ruwena berkata, keputusan itu hanya terpakai terhadap empat pertuduhan, dan tidak membabitkan tiga pertuduhan lain berkaitan dengan kes Program Jana Wibawa.

Muhyiddin, 79, masih berdepan tiga tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta pengarahnya, Datuk Seri Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel