KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu wujud perjanjian antara Pengarah Metrasys Sdn Bhd, Lian Tian Chuan, dengan pemilik Nepturis Sdn Bhd iaitu syarikat yang menerima projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Bekas pengurus kewangan Metrasys, Nur Amalina Anuar, 41, berkata Nepturis dimiliki dan diuruskan oleh Mohd Rizman Akum Khan dan Aliza Malek.
Malah, saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, Tian Chuan sendiri mengarahkan beliau menjalankan tugas sama iaitu pengurus kewangan di Nepturis serta diselia terus oleh kedua-dua rakan kongsinya itu.
"Berdasarkan kepada laporan audit kewangan, pengurus dan pemilik syarikat Nepturis adalah Aliza dan Mohd Rizman dengan (masing-masing miliki saham) sebanyak 50 peratus setiap seorang.
"Tetapi saya dimaklumkan yang tidak direkodkan, ada perjanjian antara Aliza dan Rizman bersama Tian Chuan di peringkat pengurusan syarikat," katanya
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Muhammad Ali pada perbicaraan kes bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berhadapan 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan rasuah membabitkan projek Jana Wibawa.
Nur Amalina berkata, beliau tidak pasti mengapa Tian Chuan mengarahkannya menjalankan tugas di Nepturis, sedangkan beliau hanya digajikan oleh Metrasys.
Saksi itu menegaskan, walaupun menerima arahan dari Mohd Rizman dan Aliza dalam menguruskan kewangan Nepturis, beliau tetap bekerja di pejabat Metrasys di Kota Komuning, Shah Alam.
"Bagi urusan kewangan Nepturis, Mohd Rizman dan Aliza memberikan arahan dan berkomunikasi dengan saya melalui WhatsApp.
"Saya menguruskan pembayaran kepada sub kontraktor dan pihak ketiga, Aliza menyediakan dokumen dan kerja pentadbiran, manakala Mohd Rizman berinteraksi terus termasuk mesyuarat dengan klien seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Kebiasannya arahan daripada Mohd Rizman berkaitan dengan dokumen yang diperlukan oleh pihak klien," katanya.
Ditanya oleh Siti Amirah, saksi itu bagaimanapun mengakui tidak mempunyai pengetahuan secara rasmi mengenai perjanjian antara Tian Chuan, Mohd Rizman dan Aliza.
Amirah: Adakah puan ada pengetahuan secara rasmi mengenai apa-apa arrangement (perjanjian) mereka bertiga?
Amalina: Tiada
Amirah: Jadi kenapa dalam penyataan saksi semalam, puan kata "syarikat Nepturis juga adalah syarikat yang dimiliki bukan sepenuhnya oleh Lian Tian Chuan"?
Amalina: Sebab saya mengikuti perkembangan status kes ini. Sebelum ini, telah dinyatakan dalam kenyataan Aliza dan juga Rizman...(saksi tidak sempat habiskan jawapan)
Peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful, kemudian membantah soalan berkenaan dengan mempersoalkan bagaimana saksi boleh merujuk kepada keterangan saksi lain yang belum memberi keterangan di mahkamah.
Siti Amirah kemudiannya berkata, pendakwaan percaya saksi itu menjawab demikian dengan merujuk notis kehakiman dalam kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, Aliza pernah hadir memberikan kenyataan di mahkamah dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang berdepan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Untuk rekod, Aliza dalam pernyataan saksinya menyatakan pada 2018 beliau dan Mohd Rizman telah mengambil alih syarikat Nepturis yang dimiliki Tian Chuan, serta dilantik sebagai pengarah syarikat dan pemegang saham sebanyak 50 peratus bagi setiap seorang dalam syarikat itu.
Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima bagi projek terbabit.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku di sini antara 8 Julai hingga 30 September 2022.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 November 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.
Sumber ; Berita Harian Online