KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini diberitahu syarikat Nepturis Sdn Bhd diminta menyalurkan dana RM1 juta kepada BERSATU pada 2022 selepas memperoleh projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor di bawah Program Jana Wibawa pada tahun yang sama.
Pengarah Urusan Nepturis Sdn Bhd, Mohd Rizman Akum Khan, berkata beliau tidak mengetahui tujuan pembayaran berkenaan dibuat.
Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-16, berkata cek itu dikeluarkan atas arahan pemilik bersama, Lian Tian Chuan atau lebih dikenali sebagai TC Lian dan beliau hanya melaksanakan arahan dengan menyediakan cek berkenaan tanpa mempersoalkannya.
Mohd Rizman demikian di depan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.
"Saya menguruskan projek ini sehingga kini sejak syarikat menerima surat setuju terima. Semua urusan berkaitan projek ini dipantau dan diketahui oleh TC Lian kerana beliau juga pemilik bersama syarikat bersama saya dan Aliza Abd Malek.
"Pada 16 Februari 2022, TC Lian mengarahkan saya menyediakan cek Nepturis berjumlah RM1 juta untuk dibayar kepada BERSATU.
"Saya sahkan saya tandatangan cek ini dan saya serahkan semula kepada TC Lian," katanya dalam pernyataan saksi hari ini.
Beliau berkata demikian dalam perbicaraan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden BERSATU, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik BERSATU di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Ketika disoal balas peguam Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad, Mohd Rizman berkata, beliau tidak pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung arahan mengeluarkan cek itu kerana beranggapan TC Lian tidak melakukan sebarang kesalahan.
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa cek yang ditandatanganinya itu satu bentuk rasuah, sebaliknya menganggapnya sebagai sumbangan.
Amer Hamzah: Pada pandangan kamu, apabila kamu tanda tangan cek ini, adakah kamu beranggapan ini satu rasuah?
Mohd Rizman: Tidak.
Jawapan itu mendorong Amer mendapatkan penjelasan mengenai maksud 'sumbangan' dan perbezaannya dengan 'imbuhan', soalan yang turut diulang Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, ketika pemeriksaan semula.
Wan Shaharuddin: Sebentar tadi anda ditanya tentang perkataan undang-undang, iaitu rasuah ataupun suapan. Anda tahu maksud imbuhan?
Mohd Radzi: Pemahaman saya, sumbangan seperti derma, manakala imbuhan mungkin sesuatu pertolongan atau macam balas budi.
Sepanjang pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula, Mohd Rizman berulang kali menegaskan beliau tidak mengetahui tujuan sebenar pembayaran RM1 juta itu kerana tidak pernah dimaklumkan mengenainya dan hanya TC Lian boleh menjelaskan perkara berkenaan.
Sebelum ini, seorang pengarah syarikat Nepturis, Aliza Abdul Malek, memberitahu mahkamah beliau diarah menyediakan lima surat daripada syarikat berbeza kepada Muhyiddin bagi permohonan projek di bawah Program Jana Wibawa, atas arahan TC Lian.
Dalam perkembangan berasingan, Aliza sebelum ini memberi keterangan mengenai struktur pengurusan syarikat itu dengan memaklumkan nama TC Lian tidak pernah disenaraikan dalam maklumat rasmi syarikat yang dikemuka kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menjawab persoalan mahkamah mengapa nama TC Lian tidak dimasukkan sebagai pemegang saham walaupun mempunyai kepentingan dalam syarikat, Mohd Rizman berkata, keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama sebagai langkah pengurusan risiko.
Mohd Rizman menjelaskan walaupun rekod SSM menunjukkan beliau dan Aliza masing-masing memiliki pegangan saham sebanyak 50 peratus, amalan sebenar pegangan saham syarikat ialah 35 peratus masing-masing bagi beliau dan Aliza, manakala 30 peratus lagi milik TC Lian.
"Itu adalah strategi perniagaan kami. Bukan untuk menipu sesiapa. Dalam perniagaan ada naik dan turun. Kami belajar daripada pengalaman syarikat sebelum ini dan mengambil langkah lebih berhati-hati dalam menyusun struktur syarikat," katanya.
Mohd Rizman turut menjelaskan walaupun TC Lian memiliki kepentingan sebanyak 30 peratus secara dalaman, status Nepturis sebagai syarikat Bumiputera tidak akan terjejas kerana pegangan Bumiputera masih melebihi 70 peratus.
Perbicaraan bersambung pada 27 hingga 29 Julai ini.
Sumber : Berita Harian Online