KUALA LUMPUR: Pendakwaan dalam kes rasuah dihadapi Lim Guan Eng berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, memohon untuk meminda tuduhan pertama terhadap bekas ketua menteri itu.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kepada Hakim Azura Alwi pada awal prosiding perbicaraan kes rasuah berkenaan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Bagi tuduhan itu, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta.
Ia dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Menurut Wan Shaharuddin, pindaan berkenaan hanya membabitkan pengguguran perkataan 'menerima', namun jumlah wang RM3.3 juta tetap ada dalam pertuduhan terbabit.
Beliau berkata, ia tidak menimbulkan sebarang prejudis kepada pihak pembelaan kerana pendirian mereka tetap sama bahawa Guan Eng tidak pernah menerima RM3.3 juta itu.
"Pindaan dibuat ini adalah memenuhi kehendak undang-undang dan tidak memprejudiskan pihak pembelaan.
"Undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak ada menyatakan sama ada menerima atau meminta sesuatu suapan tetapi adalah bertujuan untuk suatu suapan," katanya.
Bagaimanapun, permohonan pindaan itu dibantah oleh peguam Ramkarpal Singh mewakili Guan Eng yang menegaskan pindaan terbabit kerana selama ini pihaknya telah mengambil pendirian bahawa penerimaan adalah satu elemen penting.
"Apabila pihak pendakwaan 'mengeluarkan' perkataan itu maka seluruh pembelaan yang sudah dijalankan sehingga sekarang, adakah relevan atau tidak?
"Kami telah menimbulkan beberapa keraguan berkenaan elemen penerimaan dan keraguan itu adalah relevan kepada pertimbangan mahkamah dari segi kredibiliti dan sebagainya.
"Sekiranya perkataan itu dikeluarkan tanpa sebarang penjelasan, tambahan pula ia dibuat pada peringkat yang begitu lewat iaitu enam tahun kemudian, ia akan memprejudiskan pihak pembelaan kerana pembelaan akan terjejas.
"Oleh itu kami memerlukan masa untuk menyediakan hujahan bagi menyatakan pindaan itu menyebabkan prejudis kepada kami," katanya.
Azura kemudian membenarkan hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan pindaan itu didengar esok.
Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Ia didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Sumber : Berita Harian Online