Kes elak cukai: Ahli perniagaan bergelar 'Datuk' sudah bayar RM12 juta - Azam Baki

Tarikh: 11/04/2025
img

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan terkenal bergelar 'Datuk' dalam industri hiburan, sudah membuat bayaran tambahan sebanyak RM4 juta bagi cukai tidak dibayar.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata bayaran itu adalah tambahan kepada kompaun berjumlah RM8 juta yang dikenakan ke atas ahli perniagaan terbabit.

Azam turut mengesahkan lelaki itu telah membayar keseluruhan RM12 juta berkait siasatan kes elak cukai.

Pada 24 Julai 2023, selain kes elak cukai, ahli perniagaan itu turut disiasat berhubung kes lain yang didakwa berkaitan pengubahan wang haram, rasuah dan penyeludupan barangan haram.

Pihak berkuasa merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM38 juta, 200 kilogram (kg) emas bernilai kira-kira RM60 juta, dan 17 kereta mewah termasuk model Maserati, Ferrari dan Mercedes-Benz.

Pada 25 Julai, SPRM dilaporkan turut berhasrat untuk menyoal seorang bekas menteri daripada Perikatan Nasional (PN) bagi membantu siasatan.

Pada 27 Julai, 'Datuk' itu dibebaskan dengan ikat jamin, berdasarkan laporan yang memetik sumber rapat dengan SPRM.

Dalam catatan di Instagram pada 28 Julai, ahli perniagaan itu memaklumkan bahawa beliau memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Ditanya sama ada ahli perniagaan itu masih akan disiasat bawah kes lain selain pengelakan cukai, Azam berkata: "Tidak."

Kes berkenaan dilaporkan NST, semalam, sebagai salah satu daripada tiga siasatan oleh SPRM yang disifatkan sebagai 'kes panas yang menjadi sejuk' kerana tiada perkembangan terkini.

Terdahulu, Azam menjelaskan, SPRM sentiasa terbuka untuk menjawab soalan berkaitan perkembangan terbaharu kes, dan tidak mudah untuk menggugurkan atau mengklasifikasikan kes sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Sumber BH

MACC FM
My Anti-Corruption Channel