Kerajaan jamin perkasakan SPRM banteras rasuah tanpa kompromi - Anwar

Tarikh: 12/06/2026
img

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati, dalam usaha membanteras rasuah tanpa kompromi, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata beliau amat menekankan kepada usaha memperkukuh tatakelola, integriti serta agenda reformasi institusi negara, yang menjadi teras kepada pembinaan Malaysia yang lebih adil, telus dan berdaya saing.

Perkara itu dinyatakan beliau ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, di Putrajaya hari ini.

"Saya menegaskan bahawa integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam, tetapi asas penting bagi menjamin keyakinan rakyat, menarik pelaburan berkualiti serta menentukan masa depan negara yang lebih mampan.

"Kerajaan akan terus memperkasakan SPRM sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati, dalam usaha membanteras rasuah tanpa kompromi demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.


Sumber : Berita harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel