KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyuarakan kebimbangan, penyelesaian kes rasuah menerusi pembayaran kompaun yang diamalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh mencetuskan persepsi bahawa kesalahan berkaitan integriti dan salah guna kuasa boleh diselesaikan tanpa melalui pengadilan di mahkamah.
Ia susulan keputusan Mahkamah Sesyen, di sini, semalam yang melepaskan dan membebaskan bekas ketua unit komunikasi korporat sebuah kementerian daripada pertuduhan memperoleh suapan bernilai RM5,268 selepas tertuduh membayar kompaun ditawarkan SPRM.
Presiden WCW, Jais Abdul Karim, dalam kenyataannya, berkata kes berkenaan menimbulkan persoalan yang wajar dijawab secara terbuka bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap sistem keadilan jenayah negara.
"MCW menghormati kuasa budi bicara Pendakwa Raya, SPRM serta keputusan mahkamah yang dibuat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, namun kes ini menimbulkan persoalan yang wajar dijawab secara terbuka bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap sistem keadilan jenayah negara," katanya.
Semalam, media melaporkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas ketua unit komunikasi korporat sebuah kementerian daripada pertuduhan memperoleh suapan RM5,268 kira-kira tiga tahun lalu.
Hakim, Suzana Hussin, membuat keputusan itu selepas Pegawai Pendakwa SPRM, A Selvam, memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh, Nur Fazreen Mohamad Kamal, 45, sudah membayar kompaun susulan representasi dikemukakan kepada pihak pendakwaan.
Mengulas lanjut kes berkenaan, Jais berkata, jumlah kompaun yang dikenakan juga tidak didedahkan kepada umum.
"Ketiadaan maklumat ini berisiko menimbulkan persepsi bahawa kesalahan rasuah boleh 'diselesaikan' melalui pembayaran sejumlah wang tanpa melalui proses perbicaraan penuh.
"Selain itu, rakyat berhak mengetahui rasional mengapa satu kes yang sudah disiasat, didakwa di mahkamah dan membabitkan pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 akhirnya diselesaikan melalui mekanisme kompaun.
"Ia lebih-lebih lagi apabila pertuduhan itu membabitkan elemen suapan yang mempunyai implikasi langsung terhadap integriti perkhidmatan awam," katanya.
Katanya, MCW juga berpandangan bahawa SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mempertimbangkan untuk menerbitkan garis panduan yang lebih jelas mengenai keadaan tertentu yang membolehkan sesuatu kes rasuah diselesaikan melalui kompaun.
"Ketelusan ini penting bagi memastikan prinsip keadilan bukan sahaja dilaksanakan, malah dilihat dilaksanakan.
"MCW ingin menegaskan bahawa isu utama bukanlah individu yang terbabit, tetapi persepsi awam terhadap konsistensi penguatkuasaan undang-undang.
"Dalam usaha memerangi rasuah, keyakinan rakyat adalah aset paling berharga. Justeru, sebarang keputusan yang tidak difahami masyarakat boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi penguatkuasaan dan sistem perundangan negara," katanya.
Beliau turut menggesa SPRM dan pihak pendakwaan memberikan penjelasan yang komprehensif mengenai asas perundangan, pertimbangan awam serta justifikasi yang membawa kepada tawaran kompaun dalam kes berkenaan.
"Prinsip yang mesti sentiasa dipertahankan ialah keadilan perlu ditegakkan, ketelusan perlu dipelihara, dan integriti institusi perlu terus diperkukuhkan," katanya.
Sumber : berita Harian Online