PUTRAJAYA: Sebarang keputusan untuk mencadangkan pertuduhan di mahkamah adalah hak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebelum ditentukan oleh Peguam Negara (AG) berdasarkan penilaian terhadap kertas siasatan.
Perkara itu dinyatakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli ketika ditemui pemberita di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan hadir untuk menyambung proses memberikan keterangan pada hari ketiga kepada SPRM bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings dari United Kingdom (UK).
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya mencadangkan pertuduhan terhadap dua individu berhubung siasatan membabitkan urus niaga pelaburan semikonduktor bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings yang juga gergasi semikonduktor British.
Azam dilapor berkata pihaknya kini pada peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan 22 saksi termasuk Rafizi dan penganalisis politik, James Chai.
Dalam pada itu, Rafizi ketika mengulas lanjut memaklumkan siasatan sedang dijalankan terhadapnya setakat ini hanya tertumpu kepada aspek prosedur dan keputusan usaha sama dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
Sepanjang sesi rakaman keterangan, katanya tiada soalan yang menyentuh tentang aliran wang atau bayaran seperti yang didakwa sebelum ini.
"Tidak ada (soalan mengenai transaksi kewangan) … setakat ini, tidak ada soalan yang bersabit mengenai transaksi.
"Soalan semua berkenaan keputusan usaha sama dan prosedur," katanya.
Rafizi hadir ke ibu pejabat SPRM pada jam 1.50 tengah hari bagi meneruskan proses rakaman keterangan.
Sabtu lalu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar mengesahkan Rafizi dipanggil bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan kes terbabit yang dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan.
Dalam kenyataan berasingan, Mohd Hafaz berkata kehadiran Rafizi bertujuan memberikan kerjasama kepada SPRM dalam melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan.
Sumber : Berita Harian Online