GEORGETOWN: Dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman bagi membantu siasatan kes pemalsuan penyata akaun bagi mendapatkan tender daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bernilai RM7,966,671.60 pada September tahun lalu.
Perintah reman selama tiga hari sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Hadi Hakimi Harun selepas membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret Sivil di sini, hari ini.
Suspek yang juga pemilik syarikat berpangkat Datuk dan pengurus sebuah lagi syarikat, masing-masing berumur 64 dan 74 tahun, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.
Sumber berkata, suspek dikatakan mengemukakan dokumen penyata akaun bank syarikat yang palsu untuk mendapatkan tender perkhidmatan pembersihan am jalan daripada MBSP.
Tender itu membabitkan kerja pembersihan di zon kawasan Bertam, Seberang Perai Utara, dekat sini, membabitkan jumlah keseluruhan RM7,966,671.60 bagi tempoh lima tahun.
Permohonan reman dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liayana Rozman dengan suspek yang diwakili peguam daripada firma guaman Athimulan & Co akan direman di lokap SPRM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sumber : Berita Harian