Kakitangan MBI didenda RM3,000 terima rasuah

Tarikh: 20/04/2026
img

IPOH: Seorang penolong pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM2,000 sebagai imbalan untuk melanjutkan tempoh tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah premis yang melanggar peraturan kebenaran merancang (KM), dua tahun lalu.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi turut menetapkan tertuduh, Syed Nazrudin Syed Mohamed Taib, 53, menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, penjawat awam itu sebagai Penolong Pegawai Perancang Bandar yang bertugas di Unit Penguatkuasaan Jabatan Perancangan Bandar MBI menerima untuk diri sendiri suatu barang berharga iaitu wang tunai RM2,000 daripada Chong Yin Mei, 49, yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Ia sebagai balasan supaya MBI selaku pihak berkuasa tempatan (MBI) melanjutkan tempoh pengosongan premis perniagaan Chong Yin Mei dari dua bulan kepada setahun kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Perbuatan itu dilakukan Syed Nazrudin di NCS Craft Garden Landscape, Lorong Kuala Kangsar, Taman Merdeka, di sini dalam daerah Kinta kira-kira 5.30 petang 22 Ogos 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G Nanthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Yin Mei hadir ke Bangunan MBI pada 13 Ogos 2024 berjumpa tertuduh untuk berbincang memandangkan siasatan sedang dijalankan terhadap NCS Craft Garden Landscape yang dimiliki oleh Yin Mei mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) iaitu membuat pemajuan tanpa kebenaran merancang (KM).

Fakta kes yang diakui tertuduh itu juga menyatakan, tertuduh hadir ke NCS Craft Garden Landscape pada 21 Ogos 2024 berjumpa Yin Mei dengan membawa satu sampel notis, dengan ketika itu tertuduh meminta Yin Mei membayar RM2,000 bagi melanjutkan tempoh pengosongan premis dari dua bulan kepada satu tahun, dengan mengakui pihak MBI tidak akan mengganggu perniagaan itu dalam tempoh berkenaan.

Fakta itu juga menyebutkan Yin Mei membuat laporan kepada SPRM berhubung perkara itu sehari selepasnya, dengan susulan itu operasi perangkap (Ops Bunga) dijalankan dengan kerjasama pengadu, di mana pengadu menyerahkan 'wang perangkap' RM2,000 seperti yang diminta tertuduh sebelum tertuduh ditahan SPRM sejurus menerima wang itu.

Ketika mitigasi hukuman, tertuduh menyatakan kepada mahkamah bahawa beliau memohon hukuman denda RM3,000 seperti rundingan akuan yang difailkan kepada SPRM, dan ia tidak dibantah oleh Nanthini.

Selain menjatuhkan hukuman, Meor Sulaiman turut menetapkan supaya wang rasuah RM2,000 itu, dikembalikan kepada pihak pendakwaan.


Sumber : Berita Hairan Online


MACC FM
My Anti-Corruption Channel