Jurutera didakwa terima rasuah RM100,000

Tarikh: 17/06/2025
img

KOTA BHARU: Seorang jurutera awam kanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 14 pertuduhan menerima suapan wang tunai RM100,000 bagi tuntutan bayaran projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Gua Musang.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Azly Abdul Aziz, 44, sebagai Jurutera Awam Kanan Unit Projek Khas Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah atas dakwaa menerima suapan antara RM5,000 hingga RM10,000, dengan jumlah keseluruhan RM100,000 daripada seorang kontraktor berusia 70 tahun secara dalam talian melalui akaun bank.

Ia sebagai upah mengesyorkan perakuan tuntutan bayaran interim bagi projek LTU Pakej 3 Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang.

Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Jalan Maju di sini, antara 22 Disember 2022 hingga 31 Oktober 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) [Akta 694] dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azeezi Nordin.

Terdahulu, Tengku Nurul Haziqah mencadangkan jaminan RM20,000 untuk semua pertuduhan, namun Azeezi merayu jumlah jaminan rendah iaitu RM8,000 mengambil kira anak guamnya perlu menanggung isteri serta empat anak.

Azeezi berkata, tertuduh kini bekerja penjual sabun dan pemandu e-hailing.

Hakim Dazuki Ali membenarkan Mohd Azly diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel