Juruteknik universiti dituduh 'songlap' RM165,094.50

Tarikh: 12/02/2026
img

Johor Bahru: Seorang juruteknik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas dua tuduhan menggunakan wang milik universiti itu sebanyak RM165,094.50, empat hingga lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Rizal Sangaiman, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Mohd Rizal didakwa menggunakan wang berjumlah RM67,429 dan RM97,665.50 milik UTHM untuk kegunaan sendiri.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Batu Pahat dekat Jalan Kundang, Taman Bukit Pasir, Batu Pahat antara 28 Januari 2021 sehingga 11 Jun 2022.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ameera D'Aneez Mohd Shukari menawarkan jaminan antara RM20,000 hingga RM30,000 memandangkan nilai yang terbabit dalam pertuduhan melebihi RM150,000.

Peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang lebih rendah antara RM10,000 hingga RM15,000 atas beberapa alasan.

Beliau berkata, anak guamnya tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana sudah memberi kerjasama dengan SPRM sejak tahun lalu tanpa gagal, malah hanya tinggal di Simpang Renggam dalam negeri ini.

"Tertuduh akan dijamin oleh isterinya yang bekerja sebagai kerani syarikat swasta dengan gaji antara RM3,000 hingga RM4,000.

"Tertuduh yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 juga mungkin akan digantung tugas sehingga kes ini selesai, sekali gus menjadi satu beban dan kesulitan kepadanya jika diberikan jumlah jaminan yang tinggi," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dan menetapkan 31 Mac depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.


Sumber : Berita Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel