JPJ sita 21 kenderaan perdagangan sepanjang operasi khas pemeriksaan 37 PUSPAKOM

Tarikh: 14/01/2025
img

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 21 kenderaan perdagangan sepanjang pemeriksaan ke atas 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dalam operasi khas sejak 30 Disember lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tindakan sitaan itu diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelak berlakunya kesalahan berterusan.

"Sitaan adalah berkaitan kesalahan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu, guna kenderaan tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, insurans tamat tempoh dan menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.

"Daripada jumlah sitaan itu, JPJ turut mengesan sebuah lori diluluskan PUSPAKOM sedangkan keadaan fizikal kenderaan itu tidak mengikuti piawaian standard keselamatan kenderaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aedy berkata lanjutan daripada kes itu, JPJ mengadakan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes yang membabitkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM.

Katanya, Operasi Khas PUSPAKOM adalah salah satu elemen khas menerusi Operasi Khas Gempur Teknikal bagi tindakan penguatkuasaan dengan lebih tegas terhadap kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

"Pelaksanaan Ops Khas PUSPAKOM adalah untuk memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan sebelum, semasa dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awalan di PUSPAKOM.

"JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain," katanya.

Aedy berkata pihaknya sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya selainberusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutamanya membabitkan kenderaan perdagangan.


Sumber BH Online, foto Bernama

MACC FM
My Anti-Corruption Channel