Zulkarnain Mahdar berkata Bung Moktar Radin sepatutnya menjawab dakwaan ada pemimpin Umno Sabah menerima komisen jutaan ringgit.
PETALING JAYA:
Pertubuhan bukan kerajaan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) meminta Ketua Umno Sabah Bung Moktar tidak mengalihkan isu sebenar berhubung dakwaan ada pemimpin parti itu menerima komisen jutaan ringgit.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Zulkarnain Mahdar berkata Bung sepatutnya menjawab isu tersebar di media sosial bukan menyerang mereka yang memainkan isu itu sebagai ‘bankrap idea’.
“Bung jangan angkuh dan tidak sepatutnya ‘spin’ isu ini,” katanya dalam kenyataan sambil menjelaskan G57 hanya menyampaikan kebimbangan awam dan melaporkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis lalu.
Semalam, Bung menegaskan beliau enggan melayan isu dibangkitkan G57 berhubung dakwaan pemimpin kanan Umno Sabah menerima ‘komisen’ jutaan ringgit membabitkan sebuah projek di negeri itu.
Ketua Umno Sabah itu turut menyifatkan NGO berkenaan ‘bankrap idea’ untuk dimainkan bagi memburukkan pemimpin partinya.
Sementara itu, Zulkarnain turut menggesa Bung supaya mengarahkan Pemuda dan Wanita Umno untuk membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat berkait dakwaan rasuah terbabit.
“Buat laporan Polis fitnah ke atas warga maya menyebarkan keratan pemberian komisen dan bukannya lari dari isu itu.
“Menghairankan apabila sehingga ke hari ini tidak ada satu laporan polis penafian dibuat oleh pimpinan Umno Sabah,” katanya.
Sumber : FMT Reporters