'Jangan sesekali kompromi soal integriti, itu legasi terbesar saya' - Ayob Khan

Tarikh: 27/07/2026
img

KUALA LUMPUR: Hari terakhir Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, sebagai Timbalan Ketua Polis Negara disifatkan bukan sekadar penamat kerjayanya selama hampir 35 tahun, malah menjadi pentas terakhir beliau mengingatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak sesekali berkompromi dalam soal integriti.

Ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini, beliau mengakui sering dilabel sebagai pegawai yang tegas dan tidak bertolak ansur, khususnya dalam memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa serta jenayah terancang.

Katanya, tanggapan sedemikian tidak pernah menghalangnya daripada melakukan perkara yang diyakini benar.

"Ada yang kata saya terlalu keras dan kurang diplomasi. Itu persepsi mereka. Ada yang suka, ada yang tidak, tetapi saya tidak pernah membiarkan sebarang kritikan menghalang saya daripada melakukan perkara yang betul.

"Sepanjang kerjaya, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa integriti adalah aset paling bernilai yang dimiliki seseorang.

"Memetik kata-kata daripada sebuah filem, seseorang yang kehilangan wang sebenarnya tidak kehilangan apa-apa, kehilangan rumah hanya kehilangan sesuatu, namun sekiranya kita kehilangan maruah dan peribadi ia adalah bermakna kita kehilangan segala-galanya," katanya dalam ucapan pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Beliau berkata, watak dan integriti seseorang tidak sepatutnya digadaikan demi kepentingan peribadi.

Dalam ucapan perpisahannya, Ayob Khan berkata, persaraannya bukan sekadar menamatkan kerjaya sebagai anggota polis, sebaliknya melambangkan fasa baharu kehidupan yang mengajar manusia menerima hakikat bahawa segala-galanya bersifat sementara.

"Hari ini bukan sekadar hari saya menyerahkan tugas. Ia juga tentang melepaskan sesuatu yang menjadi sebahagian daripada hidup saya selama hampir 35 tahun.

"Dalam kehidupan, kita akhirnya akan melepaskan segala-galanya. Kesihatan, harta benda, rumah malah akhirnya kita juga akan meninggalkan dunia ini. Tiada apa yang menjadi milik kita buat selama-lamanya," katanya.

Mengimbau perjalanan kerjayanya, Ayob Khan berkata antara detik paling mengecewakan sepanjang berkhidmat ialah pembubaran Bahagian Counter Terrorism pada 2014, sedangkan pasukan itu berjaya mencatat pelbagai kejayaan dalam membanteras ancaman keganasan.

Beliau berkata, ketika itu beliau secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau terus berkhidmat dengan penuh komitmen di setiap penugasan yang diberikan sehingga diberi kepercayaan menerajui Polis Johor, Jabatan Siasatan Jenayah dan akhirnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

"Saya tidak pernah membayangkan akan sampai ke tahap ini. Saya bukan datang daripada keluarga berada atau berpengaruh. Saya berasal daripada keluarga biasa yang mengajar saya supaya bekerja keras, jujur dan berpegang kepada nilai murni," katanya.

Ayob Khan turut melahirkan rasa syukur kerana dapat menamatkan perkhidmatan dalam keadaan sihat, sambil mengakui ramai rakan seperjuangannya tidak bernasib baik apabila meninggal dunia atau terpaksa bersara awal akibat masalah kesihatan.

Beliau juga mendedahkan bahawa menjadi anggota polis bukan cita-cita asalnya.

Selepas menamatkan pengajian di universiti pada 1990, beliau merancang membina kerjaya dalam sektor perbankan dan ketika itu sudah bekerja di sebuah syarikat kewangan sebelum menghadiri temu duga polis di Alor Setar.

"Saya tidak pernah bercadang menyertai pasukan polis kerana ketika itu sektor perbankan menawarkan gaji dan prospek kerjaya yang lebih baik.

"Namun selepas menghadiri temu duga, beberapa bulan kemudian saya menerima tawaran menyertai PDRM. Apabila dikenang semula, itulah perancangan Allah SWT untuk saya," katanya.

Ayob Khan menyerahkan jawatan terakhir yang disandangnya kepada Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus, sebagai pemangku.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.


Sumber ; Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel