KOTA BHARU: Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad menegaskan empat pegawai kanan agensi itu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu masih belum didapati bersalah.
Justeru, Khalid berkata, mereka boleh bertugas untuk membantu KADA dan golongan petani meningkatkan hasil serta pendapatan mereka.
"Saya minta pihak berkenaan hentikan berpolitik. Saya berharap kita dapat bersatu padu dan bekerjasama membantu golongan petani meningkatkan hasil dan pendapatan.
"Kalau nama mereka (empat pegawai kanan) tidak bersih, mereka tidak boleh bertugas. Saya hairan buat laporan SPRM dan SPRM sudah ambil tindakan menahan mereka.
"Mereka digantung kerja selama tiga bulan. Kalau ada kes sepatutnya (mereka) didakwa, tetapi setakat ini tidak ada apa-apa, maka mereka mula bertugas kembali," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Khalid berkata, masih ada golongan yang tidak berpuas hati dan mempolitikkan isu itu.
"Banyak sangat berpolitik dalam KADA...Saya ambil alih, saya tegaskan untuk menyatupadukan balik supaya boleh bekerjasama dalam satu pasukan untuk bantu petani.
"Paling penting KADA perlu bekerja kuat dan selesai masalah petani," katanya.
Terdahulu, satu surat oleh petani yang prihatin diajukan kepada Perdana Menteri yang mengadu empat pegawai KADA yang ditahan SPRM tahun lalu masih bertugas.
Surat itu meminta isu berkenaan diambil tindakan segera bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan agensi kerajaan, khususnya di KADA.
Ketika ditanya dakwaan empat pegawai kanan berkenaan kononnya menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk kepentingan peribadi, Khalid menafikan perkara itu.
"Mereka tidak menggunakan nama Perdana Menteri dan menteri bila berurusan dengan saya, itu hanya dakwaan saja," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi berkata, kes berkenaan masih berjalan dan dalam siasatan.
"Mereka boleh bekerja kerana kes tidak jatuh hukum dan tidak didapati bersalah lagi," katanya.
Sumber BH Online