Isu tatakelola antara siasatan awal ketirisan, penyelewengan

Tarikh: 28/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Kelemahan tatakelola adalah di antara aspek sering dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan awal terhadap ketirisan dan penyelewengan dialami sesuatu organisasi di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, berkata siasatan yang dijalankan pihaknya memberi tumpuan kepada tiga kategori mengikut Akta SPRM 2009, meliputi kesalahan rasuah mengikut Seksyen 16 dan 17, penyelewengan mengikut Seksyen 18 serta salah guna kuasa mengikut Seksyen 23.

"Selain itu, kita juga perlu menyiasat dari segi kelemahan tatakelola jika ia ada. Isu tatakelola ini adalah isu bersambung-sambung.

"Kebanyakannya, apabila penyiasatan dilakukan, hujung-hujungnya kita dapati kebanyakan jatuh kepada (kelemahan) tatakelola," katanya.

Abdul Halim menegaskan, kelemahan tatakelola perlu dilihat dalam konteks penambahbaikan dan pembetulan, bukannya terus dianggap sebagai bukti berlakunya kesalahan jenayah.

Kemuka nasihat

Beliau berkata, SPRM tidak boleh membuat penghakiman terhadap isu tatakelola semata-mata, sebaliknya boleh mengemukakan nasihat bagi tujuan penambahbaikan dan pembetulan terhadap kelemahan yang dikenal pasti dalam sesebuah organisasi.

"Untuk tatakelola, kita tak boleh frame (posisikan) apa-apa judge (penghakiman). Cuma kita boleh laksanakan nasihat dari segi penambahbaikan, rectification (pembetulan) dan juga kalau tak ada, diadakan tatakelola tersebut," katanya.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi atau mewujudkan tatakelola yang sewajarnya, boleh memberi kesan kepada pengurusan peruntukan, termasuk menyebabkan berlakunya ketirisan kepada bajet asal yang diberikan kerajaan.

Katanya, keadaan itu menunjukkan kepentingan tatakelola yang baik bukan hanya dari aspek pematuhan prosedur, tetapi turut membabitkan usaha memastikan peruntukan awam digunakan sebagaimana sepatutnya.

"Ini adalah satu ketirisan kepada bajet asal yang dikemukakan atau diberikan oleh pihak kerajaan, yang sepatutnya diperbetulkan dan diatasi benda ini semua," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila isu tatakelola dikenal pasti pada penghujung siasatan, SPRM akan mengambil langkah susulan dengan menghantar pasukan ke agensi, syarikat atau pertubuhan berkaitan bagi membantu mengatasi kelemahan itu.

Pada masa sama, beliau berkata, masyarakat, agensi kerajaan, syarikat dan pertubuhan perlu diberi kesedaran kepentingan tatakelola sebagai benteng bagi mengurangkan ketirisan.

Katanya, peranan media massa pula penting untuk menerangkan kepada masyarakat mengenai kepentingan tatakelola dan kesannya terhadap pengurusan dana serta keyakinan rakyat.

"Harapnya dapat diberikan penerangan, kesedaran di pihak masyarakat, agensi, syarikat berkenaan mengenai pentingnya tatakelola ini kerana ia merupakan ketirisan yang amat besar dan menghakiskan, satu peruntukan, keduanya keyakinan rakyat," katanya.


Sumber : Berita Harian Online



MACC FM
My Anti-Corruption Channel