KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini bagi memberi keterangan membantu siasatan membabitkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings Plc (ARM).
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, berkata bekas Menteri Ekonomi itu dipanggil dirakam keterangan hari ini jam 10 pagi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Katanya, rakaman percakapan Rafizi itu adalah selepas pembantunya James Chai, diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut minggu lalu.
"Sebanyak 22 keterangan telah diambil, termasuklah dalam kalangan menteri dan juga pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025.
"Minggu lalu kita sudah merakam keterangan daripada James Chai selama tiga hari berturut-turut bermula Selasa lalu," katanya.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.
Pada 1 April lalu, SPRM memberikan tempoh dua minggu kepada James Chai, yang ketika itu berada di London, untuk tampil membantu siasatan, dengan pihak suruhanjaya bersedia menanggung kos penerbangan pulang ke Malaysia.
Selain itu, siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada perkhidmatan di sebuah kementerian.
Kelmarin, Rafizi memaklumkan telah menerima notis daripada SPRM yang meminta beliau hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.
Katanya, beliau bersama peguamnya telah bersedia untuk dirakam keterangan dan membantu siasatan SPRM.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, kes berkenaan akan menjadi perbicaraan yang panjang dan menarik kerana ramai pimpinan besar negara akan dipanggil menjadi saksi termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri.
Sumber : Berita Harian Online