SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam eFishery perlu dilihat lebih daripada usaha mencari unsur rasuah atau salah guna kuasa semata-mata. Ia mesti menjadi bedah siasat menyeluruh terhadap proses tatakelola, pematuhan prosedur dan kewibawaan sistem membuat keputusan apabila ratusan juta wang awam boleh terdedah kepada penipuan terancang.
Kita meminta SPRM meneliti, sama ada wujud kelemahan sistem, ketidakpatuhan atau kegagalan mematuhi proses ditetapkan sepanjang pelaburan itu dilaksanakan. Ini kerana ia menimbulkan tanda tanya adakah semua lapisan semakan benar-benar dibuat atau sekadar bergantung pada dokumen, nama besar juruaudit dan keyakinan bahawa pelabur antarabangsa lain tentunya sudah melakukan penelitian secukupnya?
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak campur tangan dalam keputusan pelaburan KWAP kerana ia diputuskan panel profesional dan dibentangkan kepada lembaga. Kita mengakui keperluan tidak campur tangan dalam keputusan pelaburan tetapi kita mengingatkan kebebasan profesional tidak pernah bermaksud kebal daripada pertanggungjawaban, apatah lagi apabila keputusan terbabit menyentuh dana persaraan dan kepentingan rakyat.
Pelaburan sememangnya mengandungi risiko, manakala tidak semua kerugian menunjukkan kecuaian. Namun, kerugian akibat turun naik pasaran atau kegagalan model perniagaan tidak sama dengan kerugian berpunca daripada penyata kewangan dimanipulasi, maklumat palsu atau proses usaha wajar yang gagal mengesan tanda amaran. Fakta firma audit antarabangsa dan pelabur ternama turut terpedaya tidak boleh dijadikan selimut untuk menutup kelemahan. Sejarah skandal korporat dunia berkali-kali membuktikan nama besar bukan jaminan mutlak, malah kadangkala mencipta rasa selamat palsu hingga sikap skeptikal dan semakan bebas menjadi longgar.
Justeru, SPRM perlu meneliti minit mesyuarat, laporan penilaian, pengesahan pelanggan, lawatan fizikal, jejak aliran tunai dan pemantauan selepas pelaburan. Jika terdapat pegawai atau pihak tertentu cuai, melangkaui prosedur atau gagal melaksanakan amanah profesional, tindakan mesti diambil tanpa memilih pangkat dan kedudukan.
Pada masa sama, kenyataan Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa pelaburan RM163 juta itu kurang 0.1 peratus daripada keseluruhan dana KWAP diharap dapat menolak dakwaan tidak bertanggungjawab kononnya KWAP hampir bankrap atau pencen penjawat awam tidak mampu dibayar. Namun, kecil dari segi peratusan tidak bermakna kecil dari segi amanah. RM163 juta tetap wang rakyat dan setiap sen boleh dipulihkan mesti dikejar melalui tindakan undang-undang, pengesanan aset serta kerjasama rentas sempadan.
Namun, kita mengingatkan KWAP tidak menjadi terlalu takut mengambil risiko disebabkan kes ini hingga hanya memilih pelaburan paling selamat tetapi kurang menguntungkan. Dana jangka panjang memerlukan kepelbagaian portfolio dan keberanian terkawal, tetapi sebarang tindakan mesti berakar pada disiplin, ketelitian serta mekanisme semak dan imbang.
Kes eFishery perlu dijadikan peringatan bahawa kecanggihan penipuan tidak boleh ditangani dengan kebergantungan terhadap reputasi semata-mata, sebaliknya menuntut budaya semakan lebih teliti dan berlapis. Rakyat bukan sahaja mahu mengetahui siapa bertanggungjawab, bahkan melihat setiap kelemahan diperbaiki dan wang awam dipulihkan sedaya upaya demi masa depan negara dan semua pihak.
Sumber : Berita Harian Online