Isu MyEG, Zetrik AI: Gulam Muzaffar lapor SPRM, turut kaitkan Loke

Tarikh: 08/10/2026
img

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu membabitkan My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad.

Laporan itu turut menyentuh persoalan berhubung RM314 juta yang didakwa sepatutnya dibayar kepada kerajaan, selain membabitkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Gulam Muzaffar berkata, laporan berkenaan dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara yang didakwa menimbulkan persoalan berdasarkan kenyataan Menteri Pengangkutan sebelum ini.

"Maklumat daripada laporan ini diperoleh hasil daripada kenyataan rasmi yang dibuat oleh Loke sebelum ini sebelum saya memutuskan untuk membuat laporan kepada SPRM," katanya pada sidang media selepas memberikan keterangan kepada pegawai SPRM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, maklumat berkaitan turut diserahkan kepada SPRM bagi membantu siasatan.

"Saya tampil sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk memberi kenyataan serta aduan kepada pihak SPRM mengenai apa yang sedang berlaku dalam isu MyEG dan Zetrix AI.

"Saya bersedia menjadi saksi utama sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan," katanya.

Gulam Muzaffar berkata, aduan itu turut menyentuh beberapa peruntukan mengikut Akta SPRM 2009, termasuk Seksyen 16, 17, 18 dan 23 yang menurutnya wajar diteliti pihak berkuasa.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan melalui saluran MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ, berkuat kuasa Isnin lalu.

Loke dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan kegagalan syarikat berkenaan memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh ditetapkan.

Jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat berkenaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu adalah RM314 juta, membabitkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan MOT.

MYEG dilantik sebagai ejen pemungut JPJ bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Pertukaran Hak Milik Kenderaan Motor, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik sejak 2000.

Gulam Muzaffar berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

"Saya percaya kepada profesionalisme pihak SPRM untuk buat siasatan," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel