KUALA LJMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan isu pemindahan tiga gajah Asia dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping di Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan suruhanjaya itu ketika ini giat mendapatkan keterangan daripada beberapa agensi awam termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
"Siasatan kini memberi tumpuan kepada NRES, PERHILITAN serta ejen yang terbabit dalam urusan pemindahan DAK," menurut kenyataan berkenaan.
Berhubung dakwaan terdapat bayaran berkait urusan itu yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain beberapa individu dikaitkan dengan transaksi dianggarkan bernilai RM53 juta, SPRM berkata, perkara itu turut diberi perhatian.
"Namun, siasatan masih di peringkat awal dan sedang dijalankan secara menyeluruh. Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan," menurut kenyataan itu.
Tegas SPRM, agensi itu komited menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa sekiranya terdapat bukti yang mencukupi untuk tindakan lanjut.
Dara, Amoi dan Kelat sebelum ini dilapor dipindahkan dari Malaysia ke Zoo Tennoji menerusi perjanjian kerjasama konservasi antara Zoo Taiping & Night Safari dengan Tennoji Zoo, namun timbul persoalan mengenai kebajikan, habitat dan kesejahteraan tiga haiwan itu selepas berada di Jepun.
Perdebatan mengenai DAK semakin hangat apabila pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis kebajikan haiwan menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan hidup gajah berkenaan.
Mereka berpandangan mengatakan gajah yang berasal dari habitat tropika lebih sesuai ditempatkan di persekitaran semula jadi di Malaysia berbanding di zoo luar negara.
Pada masa sama, pihak mempertahankan perjanjian itu menjelaskan bahawa tempoh kerjasama selama 25 tahun adalah munasabah bagi mencapai matlamat konservasi dan pembiakan jangka panjang.
Malah, mereka turut menegaskan bahawa ketiga-tiga gajah itu masih kekal sebagai hak milik Malaysia dan perjanjian itu mengambil kira pelbagai aspek pemuliharaan spesies.
Susulan kontroversi yang tercetus, beberapa pemimpin dan pihak berkepentingan menggesa agar Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang ke tanah air, termasuk mencadangkan ia ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.
Pusat berkenaan mempunyai kepakaran, ruang pergerakan dan kemudahan yang lebih sesuai untuk penjagaan gajah.
Sumber : Berita
Harian Online