'Ismail Sabri dipanggil SPRM lagi jika gagal kemuka dokumen isytihar harta' - Azam Baki

Tarikh: 11/04/2025
img

Kota Kinabalu: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan dipanggil semula memberi keterangan semula kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika gagal mengemukakan dokumen perisytiharan harta yang diarahkan dalam tempoh dua minggu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata fasa pertama siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu sudah dilaksanakan.

"Siasatan kini beralih ke fasa seterusnya. Oleh itu, saya sudah mengarahkan untuk beliau dipanggil semula dalam masa terdekat.

"Beliau akan ditanya mengenai pengisytiharan harta yang belum selesai. Kita sedang menunggu dokumen terbabit, namun jika tidak menerima dokumen diperlukan, beliau akan dipanggil untuk memperjelaskan antara lain mengenai dokumen berkenaan, kenapa begitu lambat dan sebagainya." katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Cakna Rasuah SPRM bersama Media Sabah hari ini.

Terdahulu, proses merekod keterangan difahamkan akan memasuki fasa yang menumpukan pengisytiharan harta.

Kali terakhir Ismail Sabri diambil keterangan oleh SPRM Putrajaya pada 24 Mac lalu, untuk siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia bagi tempoh perkhidmatan dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sumber BHO

MACC FM
My Anti-Corruption Channel