Integriti dalaman ATM faktor penentu keselamatan negara

Tarikh: 29/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Perbuatan jenayah berkaitan integriti dan moral terutama rasuah dan salah guna kuasa dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak boleh dianggap sekadar penyelewengan atau salah laku pentadbiran, sebaliknya ia ancaman besar terhadap keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lebih teruk negara ini berisiko untuk hancur dan lumpuh jika musuh ATM itu adalah orang dalam sendiri.

Menjelaskan pendirian Kementerian Pertahanan (MINDEF), beliau berkata kementerian melihat rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kegelinciran integriti sebagai perbuatan yang keji, hina dan tidak bermoral, selain sangat bercanggah dengan sikap dan budaya sebenar MINDEF.

"ATM bukan kolam rasuah dan ATM juga bukan berfungsi melalui ekosistem nasional yang dipacu dengan imbuhan dan ganjaran yang keji dan tidak halal.

"Elemen buruk (seperti rasuah dan salah guna kuasa) bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat dan menjejaskan persepsi terhadap keunggulan, kehebatan dan keanggotaan ATM, malah ia mengkhianati tujuan moral sebuah angkatan persenjataan negara yang berdaulat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas musuh dari dalam, beliau mengakui ATM pasti akan tewas jika mereka yang diberikan amanah untuk mempertahankan negara boleh dibeli, dirasuah dan dimiliki golongan pemodal yang rakus.

"ATM tahu bagaimana untuk menghadapi serangan ketenteraan dan mereka belajar untuk berperang dan berjuang, namun jika orang yang diamanahkan itu boleh dibeli, dirasuah dan dimiliki golongan pemodal yang rakus, kita pasti akan tewas sebelum bertempur.

"Pembelian aset pertahanan yang tak bermutu, perolehan pertahanan yang berstatus berkali ganda lebih mahal dan kekangan dana disebabkan ketirisan, semua ini bukan hanya melemahkan sistem pertahanan nasional tetapi mengancam nyawa perajurit kita.

"Ia menggugat kedaulatan tanah air dan merapuhkan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat Malaysia," katanya.

Ambil tindakan drastik

Mohamed Khaled juga berkata MINDEF sedang mengambil tindakan drastik untuk memerangi segala kegelinciran integriti dan penyalahgunaan kuasa dalam ATM.

Katanya tindakan diambil tidak akan membezakan sesiapa, daripada yang berpangkat paling tinggi hingga paling bawah.

"Mereka akan kehilangan kehormatan sebagai seorang pahlawan jika didapati bersalah.

"Mereka yang dihadapkan dengan pertuduhan jenayah, kita serahkan kepada sistem keadilan negara untuk memutuskan dengan adil.

"Bagi kes membabitkan kegiatan tidak bermoral, seperti budaya hedonisme dan salah laku pentadbiran, mahkamah ATM akan mengadili mereka.

"Apa yang nyata, Kementerian Pertahanan tidak akan melindungi sesiapa," katanya.

Mohamed Khaled berkata, MINDEF akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan bebas, telus dan berkesan.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diberikan ruang seluas-luasnya untuk mengambil tindakan dan beliau sendiri sudah bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki minggu lalu.

"Saya memberi jaminan, saya dan seluruh Kementerian Pertahanan berdiri bahu membahu dengan SPRM untuk membasmi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa di Kementerian Pertahanan dan ATM.

"Usaha mengembalikan wibawa dan kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM adalah keutamaan terpenting Kerajaan MADANI dan Kementerian Pertahanan.

"Tindakan mengenal pasti dan mendakwa mereka yang terbabit jauh daripada mencukupi. Ia tidak sama sekali akan menjadikan kementerian ini suci dan bersih," katanya.

Memperkukuh integriti demi keutuhan sistem pertahanan negara

Sistem pertahanan nasional Malaysia tetap utuh, berfungsi sebaiknya dan tidak sama sekali terjejas susulan isu rasuah membabitkan beberapa pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kebelakangan ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesiapsiagaan sistem pertahanan negara berada pada tahap terbaik dan tidak sama sekali ada gangguan terhadap operasi pertahanan.

Beliau berkata semua proses perolehan yang tertangguh akan diselaraskan dengan Kementerian Kewangan supaya operasi ATM dapat berjalan seperti diharapkan.

"Bagaimanapun, saya ingin menyampaikan kepada Dewan yang mulia ini supaya segala masalah yang terbit mengenai pegawai ATM kebelakangan ini, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan ATM sebagai sebuah institusi yang rosak atau tidak berintegriti.

"ATM, pada asasnya, masih berfungsi sebagai sebuah institusi pertahanan nasional yang hebat, unggul dan berfungsi dengan baik, yang menyumbang secara langsung kepada kestabilan negara, kemakmuran ekonomi dan keamanan yang sedang kita nikmati hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau juga mengumumkan lima langkah diambil MINDEF dalam kerangka pemulihan wibawa menerusi pembaharuan tatacara dan tatakelola.

Katanya, pelaksanaan langkah pemulihan integriti itu, MINDEF menyasarkan tiga hasil utama iaitu menutup sebaik mungkin segala ruang rasuah dan salah guna kuasa; meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memudahkan pengesanan risiko serta memastikan kementerian mempunyai sistem operasi yang unggul, dipacu teknologi termaju dan diolah dalam kerangka kelestarian dan kemapanan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel