JAKARTA: Pejabat Peguam Negara (AGO) menahan 11 individu, termasuk pegawai kastam dan seorang pegawai Kementerian Perindustrian, atas dakwaan rasuah dan manipulasi eksport minyak sawit mentah (CPO).
Jurucakap AGO, Anang Supriatna, dalam satu kenyataan berkata tiga pegawai pemerintah dan lapan pihak swasta itu ditahan atas kesalahan mengelak kewajipan jualan domestik dan cukai eksport.
"Manipulasi pengelasan ini dilakukan bagi mengelak sekatan eksport CPO, supaya komoditi yang pada asasnya adalah CPO boleh dieksport seolah-olah bukan CPO dan dikecualikan daripada kewajipan ditetapkan kerajaan," katanya.
Menurut beliau, siasatan mendapati antara 2020 hingga 2024, CPO dieksport dengan dilaporkan sebagai Sisa Cecair Kilang Kelapa Sawit (POME) atau hasil sampingan.
Ini secara langsung mengelakkan levi dan kewajipan jualan domestik. Kerugian negara dianggarkan antara 10.6 trilion rupiah (RM2.46 bilion) hingga 14.3 trilion rupiah (RM3.32 bilion).
Pengarah Siasatan Jenayah Khas AGO, Syarief Sulaeman Nahdi, berkata penamaan suspek dibuat selepas pasukan penyiasat memperoleh bukti mencukupi.
"Terdapat 11 suspek," katanya pada sidang media di Bangunan AGO pada 10 Februari.
Antara pegawai pemerintah yang dinamakan ialah bekas Pengarah Teknikal Kastam di Direktorat Jeneral Kastam dan Cukai, Fadjar Donny Thahjadi.
Turut dinamakan, Lila Harsyah Bakhtiar dari Direktorat Industri Hasil Hutan Kementerian Perindustrian dan Muhammad Zulfikar dari Pejabat Kastam Pekanbaru.
Lapan suspek lain terdiri daripada pengarah dan eksekutif beberapa syarikat swasta, namun kenyataan rasmi hanya menyebut huruf awalan nama mereka.
Menurut Anang, tiga pegawai pemerintah itu didakwa menerima imbuhan bagi 'melancarkan proses pentadbiran dan pengawasan eksport'.
Indonesia melaksanakan mekanisme Kewajipan Pasaran Domestik (DMO) yang mewajibkan pengeksport menjual sebahagian pengeluaran mereka di pasaran domestik sebagai syarat memperoleh permit eksport.
Dasar itu bertujuan memastikan bekalan minyak masak mencukupi dan harga stabil.
Selain itu, pemerintah mengenakan levi eksport terhadap produk sawit, dengan kadar tertinggi dikenakan kepada CPO berbanding produk hiliran.
Syarief menjelaskan bahawa sepanjang 2020 hingga 2024, pemerintah memperketat kawalan eksport CPO sebagai komoditi strategik negara yang diklasifikasikan di bawah Kod Sistem Harmonisasi (HS) 1511.
"Ini adalah usaha untuk mengekalkan ketersediaan minyak masak domestik dan kestabilan harga untuk masyarakat," katanya.
Dalam operasi terdahulu, penyiasat turut menggeledah beberapa lokasi termasuk pengurup wang di pusat beli-belah di Jakarta. Mereka merampas sejumlah wang dalam mata wang dolar Singapura.
AGO mendakwa beberapa pegawai kastam menukar wang tanpa menggunakan kad pengenalan, sama ada secara langsung atau melalui perantara. Tindakan itu dikesan melalui bukti elektronik.
Penyiasat turut menggeledah kediaman pegawai berkaitan serta beberapa pejabat termasuk Ibu Pejabat Kastam di Rawamangun, Makmal Kastam Surabaya, Pejabat Kastam Bali-Nusa Tenggara dan Medan.
Kesemua suspek didakwa di bawah Artikel 603 Kanun Keseksaan bersama Artikel 20 perenggan a dan c serta Artikel 18 Akta Pemberantasan Rasuah.
Sebagai pertuduhan subsidiari, mereka turut didakwa di bawah Artikel 3 Akta yang sama. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup.
Sementara itu, Kementerian Perindustrian mengesahkan bahawa pegawainya yang terbabit telah dilucutkan jawatan sejak Januari 2026.
Jurucakap kementerian, Febri Hendri Antoni Arif, berkata tindakan tegas itu dibuat bagi memudahkan proses siasatan.
"Sejak individu berkenaan menjalani pemeriksaan beberapa bulan lalu, Menteri Perindustrian telah menggantung semua jawatannya melalui Keputusan Menteri Perindustrian No. 14 Tahun 2026 bertarikh 8 Januari 2026.
"Kami akan terus memperkukuh pengawasan dalaman, meningkatkan integriti serta menutup ruang penyelewengan dasar supaya kejadian seumpama ini tidak berulang," katanya. - AGENSI