"Ia sidang media bulanan, bukan sasar James Chai" - SPRM

Tarikh: 05/03/2026
img

KUALA LUMPUR: Dakwaan bekas pembantu Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai yang cuba menggambarkan dirinya sebagai mangsa tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak benar.

SPRM dalam kenyataan berkata dakwaan Chai itu mengelirukan serta memberi gambaran salah kepada masyarakat mengenai prosedur siasatan yang dilaksanakan.

SPRM menjelaskan, sidang media semalam oleh Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki yang dirujuk oleh Chai, diadakan secara bulanan dan berkala bagi memaklumkan kepada media mengenai perkembangan beberapa siasatan yang sedang berjalan, bukan khusus kepada kes beliau.

"SPRM memandang serius kenyataan Chai kerana dalam sidang media itu terdapat beberapa kes yang disentuh termasuk Op Middlemen, kes e-waste haram yang membabitkan siasatan ke atas Jabatan Alam Sekitar, Op Heart dan Op Godfather yang berkaitan kes Toh Puan Nai'mah Ab Khalid.

"Oleh itu, dakwaan bahawa sidang media itu diadakan semata-mata untuk menyasarkan beliau adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali," kata SPRM hari ini.

Dalam laporan BH hari ini, Chai menempelak SPRM selepas didakwa memberi gambaran kononnya dia sedang bersembunyi bagi mengelak siasatan.

Chai berkata, naratif SPRM itu memberi gambaran seolah-olah dia adalah pelarian.

Bagaimanapun, SPRM menjelaskan pengeluaran Notis Mengesan individu atau saksi untuk bantu siasatan adalah prosedur siasatan standard yang digunakan oleh SPRM dan agensi penguatkuasaan lain.

"Ia dikeluarkan apabila pelbagai usaha untuk menghubungi individu berkenaan gagal, termasuk melalui panggilan telefon, lawatan ke alamat terakhir yang diketahui atau kaedah lain yang munasabah.

SPRM berkata Notis Mengesan bukan satu tuduhan jenayah dan tidak membawa sebarang kesimpulan bahawa individu berkenaan melakukan kesalahan, sebaliknya ia satu langkah bagi mengesan individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.

"Dalam siasatan itu, seramai 12 individu termasuk seorang Menteri Persekutuan sudah dipanggil dan memberikan kerjasama, jadi sekiranya James Chai tidak ada yang hendak disembunyikan, beliau harus tampil untuk memberi kerjasama.

"Sebagai makluman, SPRM secara purata mengeluarkan antara dua hingga lima Notis Mengesan Individu setiap minggu bergantung kepada keperluan siasatan," menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, pegawai penyiasat sudah membuat beberapa percubaan untuk menghubungi Chai yang dikesan berada di United Kingdom, termasuk di aplikasi Whats App mulai 24 Februari lalu, sebelum notis itu dikeluarkan.

"Selepas beberapa percubaan untuk menghubunginya tiada balasan, akhirnya nombor pegawai penyiasat disekat oleh talian kepunyaan Chai pada 26 Februari lalu.

"Justeru, dakwaan bahawa SPRM tidak cuba menghubungi beliau sebelum mengeluarkan notis adalah tidak benar sama sekali dan ini adalah satu cubaan untuk menggambarkan prosedur siasatan yang lazim sebagai tindakan menzalimi individu adalah tidak wajar dan berniat jahat.

"Naratif sedemikian bukan saja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap proses penguatkuasaan undang-undang yang sah, khususnya ketika siasatan masih berjalan," menurut kenyataan itu.

SPRM menegaskan agensi itu sentiasa berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

"SPRM ingin menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang. Proses siasatan akan diteruskan secara profesional dan berasaskan bukti, jadi mana-mana individu yang dipanggil untuk membantu siasatan sewajarnya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, bukannya mengelak atau sengaja mewujudkan naratif awam yang mengelirukan.

"Tugas dan tanggungjawab Chai sebagai seorang warganegara adalah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa apabila timbul keperluan dan bukannya memberikan alasan tidak munasabah dan menimbulkan persepsi negatif terhadap pihak penguat kuasa," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel