TAWAU: Seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua tuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan RM7,330.
Suapan itu berhubung pembekalan bahan mentah dan kering untuk prasekolah di sekolah yang diterajuinya dua tahun lalu.
Mohd Hussin Mosten, 58, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.
Mohd Hussin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Guru Besar untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dengan meluluskan Pesanan Kerajaan bernombor CKK B 305541 berjumlah RM3,826 kepada Syarikat Syami Enterprise.
Pesanan bagi perkhidmatan membekalkan bahan mentah dan kering untuk prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Kabogan, Semporna, pada 8 Mac 2024, sedangkan kerja pembekalan berkenaan dilaksanakan sendiri olehnya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan meluluskan Pesanan Kerajaan bernombor CKK B 305546 berjumlah RM3,504 kepada syarikat sama, bagi perkhidmatan pembekalan bahan mentah dan kering untuk prasekolah sekolah berkenaan pada 18 April 2024.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di SK Kabogan, Semporna, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan serta menetapkan syarat tambahan, iaitu tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Wardah Ishhar bertindak bagi pihak pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 14 Januari depan untuk sebutan pengurusan kes, dan 25 serta 26 Februari bagi perbicaraan.
Sumber : Berita Harian Online