KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengesyorkan syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) membina terowong dasar laut di negeri itu kerana ia tidak membabitkan banyak kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.
Bekas Pengarah CZCSB, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dalam keterangannya berkata, Guan Eng memberitahunya, ia berbeza dengan pembinaan jambatan yang memerlukan banyak kelulusan daripada kerajaan pusat.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sesi pemeriksaan semula, saksi penting pendakwaan itu berkata oleh kerana Pulau Pinang pada masa itu negeri pembangkang, Guan Eng mengesyorkan supaya syarikatnya membina terowong, berbanding jambatan.
Zarul Ahmad, 66, berkata demikian pada pada perbicaraan terhadap Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan rasuah berkaitan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Saksi itu, dalam keterangan sebelum ini memberitahu mahkamah, kerajaan negeri tetap memasukkan projek itu dalam dokumen permintaan untuk cadangan (RFP) walaupun kajian pembinaan projek dijangka menghadapi kesukaran.
Beliau berkata berdasarkan minit mesyuarat antara kerajaan negeri dengan Beijing Urban Construction Group(BUCG) pada 10 Mei 2011, syarikat itu menyatakan kajian pembinaan projek dijangka berdepan kesukaran.
Sehubungan itu, katanya, BUCG memohon jabatan atau agensi kerajaan negeri turut menyumbang pendapat dalam proses penyediaan kajian kesesuaian supaya ia selaras dengan perancangan dan boleh diterima pakai oleh kerajaan negeri.
Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terbabit antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah untuk membantu syarikat itu dilantik bagi projek sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan dengan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.