NEW YORK: Goldman Sachs bersetuju menyelesaikan tuntutan saman bank Wall Street itu menipu pemegang sahamnya berkaitan peranannya dalam pengurusan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana kekayaan berdaulat Malaysia yang terpalit dalam skandal rasuah.
Ia selepas Goldman Sachs dan pemegang sahamnya mencapai persetujuan menyelesaikan kes berkenaan dan merancang mengemukakan penyelesaian bagi kelulusan awal selewat-lewatnya pada 20 Mei ini.
Perkara itu dimaklumkan berdasarkan surat yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Manhattan, semalam.
Terma penyelesaian terhadap saman itu bagaimanapun tidak didedahkan dan Goldman Sachs enggan mengulas.
Peguam bagi pemegang saham yang diketuai oleh dana pencen Sweden, Sjunde AP-Fonden, juga tidak memberikan sebarang komen.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB bagi menggalakkan pembangunan ekonomi, dengan bantuan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia menyatakan sebanyak AS$4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB, dengan sebahagiannya dipindahkan ke akaun bank luar pesisir dan syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low.
Goldman Sachs membantu 1MDB menjual bon bernilai AS$6.5 bilion dan mengutip anggaran yuran sebanyak AS$600 juta.
Pemegang saham menuduh bank itu menipu mengenai peranannya dalam penipuan berkenaan dan berulang kali mempromosikan sistem pengurusan risiko yang kononnya kukuh.
Mereka berkata harga saham Goldman Sachs menjunam selepas pelabur menyedari bank itu secara aktif memudahkan dan meraih keuntungan besar daripada penipuan berkenaan.
Pada 2020, Goldman bersetuju membayar penalti sebanyak AS$2.9 bilion dan membenarkan unitnya di Malaysia mengaku bersalah bagi menyelesaikan siasatan berkaitan 1MDB oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dan pihak berkuasa lain.
Seorang hakim di Brooklyn, New York secara rasmi menamatkan kes jenayah AS terhadap Goldman Sachs pada Mei 2024, selepas bank itu berjaya melengkapkan perjanjian penangguhan pendakwaan selama tiga tahun.
Seorang pegawai bank Goldman disabitkan kesalahan kerana membantu menyeleweng dana 1MDB, manakala seorang lagi mengaku bersalah.
Sumber : Berita Harian Online