KUALA LUMPUR: Tayangan perdana filem aksi tempatan, Konspirasi, bakal menjadi platform kreatif dalam memperkukuh mesej antirasuah kepada masyarakat, di samping mendedahkan realiti dan liku tugas sebenar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Filem yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 21 Mei ini, mengangkat tema penguatkuasaan membanteras rasuah secara realistik dan dramatik.
Lebih menarik, karya ini turut berani mengetengahkan isu sensitif seperti kebocoran maklumat siasatan membabitkan pendedahan data sulit kepada pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus memberi kesedaran mengenai bahaya pengkhianatan amanah terhadap keselamatan negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, naskhah berimpak tinggi itu diyakini mampu meningkatkan kefahaman dan keyakinan masyarakat terhadap peranan agensi itu yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek penguatkuasaan, malah merangkumi usaha pencegahan dan pendidikan antirasuah.
Katanya, masyarakat sebelum ini mungkin hanya mengenali gerak kerja SPRM menerusi laporan berita, namun flem Konspirasi memberi gambaran lebih dekat mengenai perjuangan, ancaman, tekanan serta keteguhan prinsip pegawai SPRM di lapangan.
"Filem ini memberi gambaran jelas mengenai cabaran sebenar yang dihadapi pegawai penguat kuasa dalam menjalankan tanggungjawab serta amanah demi kepentingan negara," katanya ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana filem itu di TGV Alamanda, di sini, hari ini.
Sementara itu, pengarah filem Konspirasi, Ghaz Abu Bakar berkata, karya berkenaan mendapat kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tanpa sebarang potongan jalan cerita sehingga ke penghujung filem.
Katanya, filem ini bukan naskhah hiburan kosong, sebaliknya sarat dengan mesej dan nilai murni.
"Filem ini menjadi medium untuk mengetengahkan SPRM kepada masyarakat daripada sudut yang lebih dekat dan berbeza. Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong penghasilan filem ini," katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, keterbukaan SPRM dalam menampilkan realiti tugas mereka kepada umum mencerminkan tahap ketelusan agensi yang tinggi.
Beliau menyifatkan Konspirasi sebagai salah satu bentuk filem kenegaraan yang berjaya diketengahkan, memaparkan bahawa sesuatu kesalahan itu tetap dianggap salah tanpa kompromi.
Filem Konspirasi membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shidin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis dan Esma Daniel.
Sumber : Berita Harian Online