EXCO Terengganu didakwa salah guna kedudukan dapatkan suapan untuk 2 anak

Tarikh: 24/02/2026
img

KUALA TERENGGANU: EXCO Terengganu, Datuk Hanafiah Mat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan membabitkan ahli keluarganya.

Tertuduh yang juga EXCO Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Azman Mustafa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah, pada 15 Ogos 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan perbuatan sama pada 18 Jun 2020 bagi mendapatkan suapan untuk seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon jaminan RM50,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Fadly Hashim.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee.

Peguam tertuduh melalui rayuan memohon pasport tertuduh tidak diserah kepada mahkamah atas alasan tidak berisiko melarikan diri.

Selain itu, tertuduh juga sebagai seorang ADUN dan mempunyai tanggungan dua isteri serta 13 orang anak.

Mahkamah menetapkan 12 April ini untuk tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes.

Terdahulu, puluhan penyokong hadir di pekarangan Mahkamah Sesyen bagi memberi sokongan moral terhadapnya.

Hanafiah tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.13 pagi


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel