EAIC, SPRM perkukuh tatakelola, ketelusan kerajaan mampu rangsang ekonomi negara

Tarikh: 04/08/2025
img

KUALA LUMPUR: Dua suruhanjaya yang bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan integriti negara, memberi jaminan pengukuhan tatakelola dan ketelusan kerajaan dalam setiap tindakan tidak hanya memberi keyakinan tinggi kepada rakyat, tetapi mampu merangsang ekonomi negara ke tahap tertinggi.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut bersetuju permasalahan integriti dalam kalangan penjawat awam atau swasta adalah penentu kepada kejayaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkata komitmen kerajaan memperkukuh tatakelola dan memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara telus serta berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban adalah bertepatan dalam pelaksanaan dasar ekonomi negara.

Katanya, rakyat kini tidak hanya melihat kepada salah laku semata-mata, tetapi kegagalan untuk bertindak terhadap ketidakadilan.

"Oleh itu, budaya integriti bukan hanya tanggungjawab penjawat awam atau agensi penguat kuasa, tetapi mesti diterapkan di semua peringkat termasuk sektor swasta dan masyarakat.

"Ia penting untuk memastikan setiap keyakinan rakyat terhadap institusi negara akan terus terpelihara," katanya, di sini hari ini.

Ismail berkata, penubuhan Ombudsman Malaysia perlu sebagai pelengkap kepada agenda reformasi institusi, dalam usaha mengukuhkan sistem semak dan imbang dalam penyampaian perkhidmatan awam.

"Ia juga mampu menangani aduan rakyat dengan lebih menyeluruh, bebas dan berkesan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pula berkata, setiap masyarakat di negara ini mengharapkan nilai integriti disemai dan ditekankan dalam setiap tindakan.

Katanya, perkara ini menjadi amanah yang harus dipegang SPRM untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah dan mencapai tahap ekonomi tertinggi.

"Justeru penting untuk pendidikan integriti dalam masyarakat ditekankan kerana tindakan ini akan melahirkan rakyat yang bermaruah dan berdaya tahan.

"Untuk itu, SPRM memastikan aspirasi RMK13 dijayakan, agar pembangunan sosioekonomi negara kekal mampan dan dimanfaatkan rakyat secara adil serta saksama," katanya.

Mengulas RMK13, Azam berkata, SPRM akan terus memperhebat usaha memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.

"Ia dilakukan melalui langkah meningkatkan kapasiti operasi, siasatan forensik, pemulihan aset dan usaha pencegahan.

"Ini selari dengan pengumuman Perdana Menteri yang menekankan keperluan memperkukuh tatakelola, integriti dan akauntabiliti negara," katanya.

Sumber : Berita Harian Online




MACC FM
My Anti-Corruption Channel