KUALA LUMPUR: Dua pengarah syarikat direman lima hari bermula hari ini selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan permit pekerja asing di ibu kota.
Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan Majistret Noorelynna Hanim Abd Hanim selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Katanya, kedua-dua suspek melalui syarikat masing-masing didapati mengemukakan dokumen palsu bagi permohonan permit pekerja asing sekitar tahun 2023 hingga 2024.
"Siasatan awal mendapati mereka mengemukakan permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Kuala Lumpur yang mengandungi maklumat tidak benar.
"Perbuatan itu dibuat dengan niat memperdayakan pihak Imigresen untuk mengeluarkan Pelekat Lanjutan Kerja Sementara (PLKS) kepada pekerja asing yang sebenarnya tidak bekerja dengan syarikat itu," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib, mengesahkan penahanan dua suspek berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu bagi memperdaya agensi kerajaan.
"SPRM kini sedang mengesan dua individu lain yang disyaki bertindak sebagai ejen serta bertanggungjawab memalsukan dokumen bagi pihak suspek," katanya.