Dua pemilik syarikat direman bantu siasatan palsu permohonan tanah

Tarikh: 06/08/2025
img

KUCHING: Dua pemilik syarikat direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan permohonan lot tanah komersial di Kuching yang membabitkan wang rasuah lebih RM800,000.

Perintah reman sehingga 11 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Ling Hui Chuan di Mahkamah Majistret 2 Kuching pagi tadi selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sarawak.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat meminta dan menerima rasuah bagi mengurus permohonan lot tanah komersial di Kuching.

"Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2020 hingga 2021," kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh mengesahkan penahanan kedua-dua individu tersebut yang kini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sumber: Berita harian online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel