Georgetown: Dua pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM54,000 sebagai balasan meluluskan permohonan lesen penjaja sementara sempena Tahun Baharu Cina, tahun lalu.
Perintah reman terhadap suspek masing-masing berusia 35 dan 62 tahun itu dikeluarkan Hakim Juraidah Abbas selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di Mahkamah Sesyen Jenayah 1, di sini.
Terdahulu suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang dalam keadaan tangan bergari diiringi pegawai SPRM dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga pada jam 8.49 pagi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM jam 2.30 petang semalam, berhubung dakwaan menerima wang rasuah daripada seorang individu yang memohon Lesen Penjaja Sementara Tahun Baharu Cina 2024. Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Sumber My Metro