Dua lelaki didakwa rasuah RM56,000 bagi maklumat serbuan bitcoin

Tarikh: 09/06/2026
img

SHAH ALAM: Pengurus dan penolong pengurus syarikat teknologi maklumat, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 10 pertuduhan memberi rasuah bagi maklumat operasi serbuan perlombongan mata wang kripto (bitcoin) secara haram.

Lai Chung Lam, 40, dan Lee Chee Yong, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, Chung Lam dan Chee Yong secara bersama-sama didakwa memberi suapan keseluruhan RM56,000 kepada seorang individu melalui perantara di beberapa restoran dan butik di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 28 Ogos, 2 Oktober, 17 November, 16 Disember 2020 dan 10 Mei 2021.

Suapan wang tunai itu sebagai balasan memberikan maklumat berhubung operasi serbuan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap premis yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram melalui penggunaan elektrik secara curang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika ia berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi lima lagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa dalam meneruskan niat secara bersama memberi suatu hadiah berupa wang tunai RM56,000 pada penama, tarikh, lokasi dan tujuan yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM60,000 berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport ke mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Shahidah Muslimah Roslan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada RM20,000 memandangkan kedua-dua lelaki terbabit mempunyai tanggungan keluarga dan tidak mampu membayar wang jaminan yang tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM25,000 bagi setiap seorang tertuduh, selain perlu mematuhi syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Ogos depan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel