TEMERLOH: Dua pegawai polis termasuk seorang ketua bahagian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pahang dan seorang pesara polis direman tujuh hari, mulai hari ini, bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah RM110,000.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Tan Chiew King selepas meneliti permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Temerloh, kira-kira jam 10 pagi.
Sumber memaklumkan, suspek disyaki meminta dan menerima suapan sebagai balasan tidak mengganggu dan melindungi kegiatan pengedaran dadah dan air ketum di daerah terbabit.
Menurutnya, pegawai polis masing-masing berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor serta pesara berpangkat Sarjan Mejar, semua berusia antara 30 dan 50 tahun.
Katanya, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Temerloh, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.
"Berdasarkan siasatan awal mereka disyaki menerima rasuah pada 2022 dan 2024.
"Seorang pegawai polis terbabit dipercayai menerima suapan secara bulanan antara RM4,000 dan RM5,000.
"Wang itu diterima melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank suspek sebelum diagihkan kepada pegawai polis lain," katanya.
Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, seorang lagi anggota polis turut dipanggil memberi keterangan tetapi dibebaskan dengan jaminan SPRM.