Disyaki rasuah bagi gelaran Datuk Seri, pengurus direman

Tarikh: 18/12/2024
img

PETALING JAYA: Seorang pengurus syarikat swasta direman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM375,000 untuk mendapatkan gelaran Datuk Seri, dua tahun lalu.

Perintah reman sehingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam di Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas membenarkan permohonan SPRM untuk melengkapkan siasatan kes itu, lapor Berita Harian.
Sumber berkata, suspek berusia 54 tahun itu ditahan pada 5.10 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Melaka.

Katanya, suspek didakwa meminta dan menerima rasuah itu daripada seorang individu melalui pindahan wang.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.


Sumber: FMT Reporters

MACC FM
My Anti-Corruption Channel