Dilantik semula terajui SPRM, ini tekad Azam Baki
KUALA LUMPUR: Tan Sri Azam Baki hari ini menyatakan tekad untuk memperbaiki skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada masa hadapan, susulan pelantikan semula beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, SPRM perlu meningkatkan CPI negara agar Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa.
Selain itu, beliau juga menyatakan komitmen untuk menerajui agensi penguat kuasa dalam membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
"Ini demi mewujudkan sebuah negara yang makmur, adil dan sejahtera," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum ini melaporkan, Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh setahun berkuat kuasa esok.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan pelantikan semula Azam itu.
"Sukacita dimaklumkan bahawa selaras dengan Subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026," menurut kenyataan yang dikeluarkan itu.
Sebelum ini, Azam, 62, sudah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.
Mengulas lanjut, Azam turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang memperkenankan pelantikannya semula berkuat kuasa mulai esok hingga 12 Mei 2026.
"Sesungguhnya perkenan ini merupakan suatu penghormatan besar kepada saya dan seluruh warga SPRM.
"Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan dukungan berterusan dalam meneruskan amanah ini," katanya.
Sumber BH Online