Datuk Seri antara 16 ditahan SPRM terbabit rasuah daftar kelahiran warga asing sebagai warga negara
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 individu kerana disyaki terbabit rasuah pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warga negara kepada warga negara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata kesemua suspek berusia antara hingga 70-an ditahan dalam beberapa serbuan menerusi Op Outlander dan Op Birth ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor, semalam.
Beliau berkata, serbuan itu dibuat hasil risikan selama kira-kira setahun dengan kerjasama dan perkongsian maklumat di antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Bagi Op Outlander, suspek utama adalah penjawat awam disyaki melakukan perbuatan itu dengan membantu permohonan sebagai pendaftaran lewat kelahiran iaitu untuk yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.
"Kegiatan ini dipercayai turut didalangi seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa buah klinik dan pusat bersalin. Individu itu berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Untuk Op Birth pula, katanya tiga suspek utama yang ditahan disyaki berperanan sebagai ejen yang menawar dan memberikan rasuah kira-kira RM18,000 kepada seorang penjawat awam.
Katanya, penjawat itu berperanan membantu permohonan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan seperti surat pengesahan kelahiran hospital yang didapati palsu.
"Sementara itu, enam orang awam disyaki menggunakan khidmat ejen berkenaan turut ditahan kerana menjadi pemohon yang mengemukakan permohonan daftar kelahiran.
"Turut ditahan seorang pengamal undang-undang disyaki sebagai orang tengah di antara ejen dan pemohon," katanya.
Ahmad Khusairi berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Selangor dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor bagi tujuan permohonan reman, pagi ini.
"Bagi dua suspek termasuk lelaki bergelar Datuk Seri yang mempunyai masalah kesihatan dilepaskan dengan jaminan SPRM apabila selesai dirakam percakapan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009," katanya.
Tambah Ahmad Khusairi, tangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM dalam memastikan usaha memerangi rasuah khususnya membabitkan perkhidmatan awam demi memastikan aspek keselamatan negara terjamin.