PUTRAJAYA: Dalang utama yang juga seorang pegawai Imigresen 'berpengaruh' bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi 'counter setting' akan didakwa di mahkamah awal bulan depan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata suspek berusia 40-an itu ditahan pada 5 September lalu selepas meloloskan diri ketika operasi dijalankan sebelum ini.
"Itu yang antara seorang kita tahan (dalang utama), dia mengawal lebih kurang 50 pegawai (penguat kuasa) sebab dia yang berpengaruh.
"Dia 'focal person' (individu utama) untuk menjadi perantara terhadap hampir semua pegawai imigresen supaya melaksanakan apa yang di arahkan oleh dia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
BH sebelum ini melaporkan SPRM sedang memburu seorang pegawai imigresen disyaki 'berpengaruh' dalam sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi 'counter setting'.
Pegawai terbabit dipercayai sudah melarikan diri sebaik saja operasi siasatan kes itu bermula, bagaimanapun dia dipercayai masih berada di dalam negara.
Mengulas mengenai penahanan 50 penguat kuasa itu, Azam berkata 49 daripadanya bertugas di Jabatan Imigresen manakala seorang lagi adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Seramai 12 ditahan di Selangor, Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Johor (4), Melaka (4), Bahagian Perisikan Imigresen (9) dan seorang sarjan wanita PDRM .
"Turut ditahan 10 ejen sindiket membabitkan dua orang di Kuala Lumpur dan lapan keldai akaun yang mana seorang ditahan di Pulau Pinang serta tujuh lagi di Lembah Klang," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 37 kertas siasatan sudah dibuka dan 95 individu diambil keterangan bagi membantu melengkapkan siasatan.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan memanggil lebih ramai saksi untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Azam berkata, satu ejen membabitkan warga Myanmar sudah didakwa di Mahkamah Shah Alam, Selangor pada 28 Ogos lalu.
"Empat ejen lagi akan dituduh dalam masa terdekat, manakala baki mereka yang ditahan masih dalam siasatan," katanya.
Sumber: Berita Harian