Dakwaan RM53 juta pindah Dara, Amoi, Kelat: Nik Nazmi alu-alukan siasatan

Tarikh: 22/06/2026
img

KOTA BHARU: Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengalu-alukan sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pembayaran RM53 juta berkaitan pemindahan gajah, sambil menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perkara itu.

Nik Nazmi berkata beliau sentiasa berpegang kepada pendiriannya dan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan sekiranya agensi antirasuah itu memutuskan untuk menyiasatnya.

"Saya sudah katakan sebelum ini bahawa saya mengalu-alukan sebarang siasatan. Jika mereka mahu menyiasat, teruskan.

"Saya tidak terlibat dalam perkara itu dan jika mereka mahu menyiasat, itu adalah hak mereka," katanya selepas menghadiri program Jelajah Kancil Kelantan di PCB Resort di sini malam tadi.

Nik Nazmi mengulas gesaan kumpulan hak hidupan liar, Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (HIDUP), yang meminta SPRM menyiasat beliau dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berhubung perkara itu.

Pada 18 Jun lalu, sebuah kumpulan hak hidupan liar mendakwa pembayaran hasil pemindahan tiga gajah dari Malaysia ke sebuah zoo di Jepun tidak disalurkan ke tabung kerajaan, sebaliknya berakhir di tangan individu tertentu.

Peguam HIDUP, Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata kumpulan itu berhasrat membuat laporan kepada SPRM berhubung pemindahan tiga ekor gajah - Dara, Amoi dan Kelat - ke Zoo Tennoji di Osaka, namun mereka tidak dibenarkan memasuki ibu pejabat suruhanjaya itu.

Kumpulan berkenaan mendakwa sejumlah RM53 juta telah disalurkan kepada individu tertentu dan bukannya kepada entiti kerajaan, serta mendakwa beberapa individu termasuk pegawai jabatan akan berdepan pertuduhan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel