Cuba rasuah polis, dua warga Pakistan ditahan SPRM

Tarikh: 14/01/2025
img

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Pakistan yang disyaki cuba merasuah anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, malam tadi.

Suspek masing-masing berusia 20an dan 40an itu kemudian diserahkan kepada SPRM Kuala Lumpur, kira-kira 9 malam untuk tindakan lanjut.

Sumber berkata suspek utama dipercayai cuba memberi rasuah RM500 kepada anggota polis yang menahannya kerana memandu motosikal tanpa lesen memandu dan nombor plat tidak lengkap yang melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kejadian berlaku sewaktu anggota melakukan rondaan cegah jenayah di Lebuhraya Duta Ulu Kelang (Duke) kira-kira jam 11.40 pagi semalam

"Suspek kedua pula dipercayai cuba memberi rasuah RM500 kepada anggota polis yang sama bagi melepaskan suspek utama yang juga rakannya.

"Perbuatan suspek itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kira-kira 3.30 petang," katanya.

Menurut sumber, SPRM kemudian memohon perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.

Katanya, Majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim membenarkan suspek utama direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Ahad ini manakala suspek kedua akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai memberikan keterangan.


Sumber BH Online

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel