Cropmate sahkan akaun bank berjumlah RM12.21 juta dibeku sementara SPRM

Tarikh: 29/04/2026
img

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar dan pengedar baja, Cropmate Bhd mengesahkan akaun bank miliknya dan anak syarikatnya Cropmate Fertilizer Sdn Bhd berjumlah RM12.21 juta dibekukan sementara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Cropmate berkata, perintah pembekuan itu dimaklumkan kepada kumpulan pada 24 April lalu oleh SPRM berkaitan dengan siasatan, namun kumpulan belum dimaklumkan tentang butiran penuh atau keadaan yang menimbulkan siasatan tersebut.

Katanya, pembekuan itu selaras dengan perintah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

"Syarikat sedang giat mengambil langkah yang perlu untuk menangani perkara tersebut di mana Datuk Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama bersama-sama dengan Mustafa, Ling & Co sebagai Peguamcaranya yang direkodkan.

"Surat representasi telah dikemukakan kepada SPRM untuk pertimbangannya, bagi memohon pembatalan pembekuan akaun bank kumpulan dan anak syarikat.

"Syarikat akan terus memantau perkembangan perkara ini," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Cropmate dalam kenyataan semalam menyatakan berdasarkan maklumat semasa, Lembaga Pengarah tidak mempunyai sebarang petunjuk bahawa perkara ini berpunca daripada salah laku pihak pengurusan atau pekerja.

Tegasnya, kumpulan menjalankan perniagaannya selaras dengan semua undang-undang, peraturan serta garis panduan yang berkuat kuasa dan tidak menyedari sebarang salah laku.

Di sebalik pembekuan akaun bank itu, Cropmate masih mempunyai akses kepada kemudahan perbankan alternatif bagi menyokong aktiviti perniagaan serta Lembaga Pengarah tidak menjangkakan perkara itu akan memberi sebarang kesan material dari segi kewangan atau operasi dan operasi harian kekal berjalan sepenuhnya seperti biasa.

"Lembaga Pengarah Cropmate menegaskan kumpulan komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan pihak berkuasa dan menyokong sepenuhnya proses yang sedang berjalan.

"Perniagaan kami kekal stabil, dan pelanggan serta rakan niaga kami tidak terjejas. Operasi diteruskan seperti biasa dengan sokongan pengaturan perbankan sedia ada,dan kami kekal fokus dalam memberikan nilai kepada semua pihak berkepentingan sepanjang proses ini berlangsung.

"Lembaga Pengarah akan membuat pengumuman lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perkembangan material," katanya.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel