CPI: Komitmen berterusan penggubal dasar perlu bagi capai sasaran 25 terbaik dunia

Tarikh: 18/02/2025
img

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memastikan wujudnya kehendak politik dan komitmen berterusan daripada penggubal dasar bagi mencapai kedudukan 25 terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2034.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata iltizam yang jelas perlu diterapkan dan disokong oleh barisan kepimpinan dalam perkhidmatan awam bagi memastikan matlamat berkenaan tercapai.

"Keterbukaan dan ketelusan dalam pentadbiran perlu dipertingkatkan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar ke arah pembentukan negara berintegriti.

"Di peringkat kepimpinan tertinggi, mesti ada 'political will' (kehendak politik) sebagai pembuat polisi dan undang-undang.

"Ia penting sebagai panduan automatik yang akan memandu mana-mana pihak dalam melaksanakan misi masing-masing.

"Namun, ia mesti disambut oleh ketua-ketua jabatan, ketua-ketua agensi dan sebagainya," katanya dalam Program Bicara Naratif di RTM bertajuk Reformasi Perkhidmatan Awam dan Kedudukan Dalam CPI, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha SPRM dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam sektor perkhidmatan awam di negara ini.

Menurut Azam, sektor perkhidmatan awam akan terus diperkemas bagi memenuhi keperluan rakyat termasuk melalui penambahbaikan sistem undang-undang serta penekanan terhadap penerapan integriti dalam perkhidmatan kerajaan.

"Komitmen berterusan daripada kerajaan dan penjawat awam di peringkat negeri serta Persekutuan amat penting bagi menjayakan usaha ini. Ia sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap pentadbiran awam," katanya.

Azam turut menegaskan komitmen bersama bagi meningkatkan tadbir urus dan mempromosi integriti perlu menjadi keutamaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, sekali gus mengurangkan persepsi negatif terhadap negara.

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kaunter, yang disifatkan sebagai barisan hadapan dalam urusan dengan pihak luar.

"Perkhidmatan kaunter adalah barisan paling depan yang berurusan dengan orang ramai.

"Contohnya, di pintu masuk negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta di negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Justeru, aspek ini perlu diberi perhatian bagi memastikan imej negara sentiasa terpelihara," katanya.


Sumber BH Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel