CEO Perbadanan Stadium Malaysia dituduh minta suapan RM1j, terima RM450,000

Tarikh: 19/06/2026
img

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas dakwaan meminta RM1 juta dan menerima rasuah RM450,000 berhubung tender naik taraf Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil pada Mac dan April lalu.

Iliyas Jamil, 42, menghadapi tujuh pertuduhan di hadapan Hakim Suzana Hussin, namun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

"Faham… tidak bersalah," katanya yang dituduh meminta rasuah bagi dirinya, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada seorang individu, Yap Yeow Kuen, 60, sebagai upah bagi tertuduh bersetuju memilih Syarikat Aerolux Power Constructions Sdn Bhd memenangi sebuah tender.

Tender berkenaan bertajuk Projek Menaik taraf Gelanggang & Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional Kuala Lumpur Sports City Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang bernilai RM8,733,197.00,

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perbadanan Stadium Malaysia, Aras 2, Stadium Nasional Kuala Lumpur Sports Center (KLSC), Sri Petaling, di sini, pada 24 Februari lalu.

Bagi tuduhan pertama, Iliyas didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua hingga ketujuh pula, dia didakwa menerima rasuah RM450,000 membabitkan perkara sama, di tempat sama (dua, tiga, empat dan enam pertuduhan) dan di restoran di Seri Petaling (tuduhan kelima dan ketujuh) di antara 25 Februari dan 13 April lalu.

IlIyas dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) yang memperuntukkan hukuman sama.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat mencadangkan ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia, mengambil kira status tertuduh dan keseriusan kesalahan.

Beliau juga memohon syarat tambahan, iaitu dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff memohon jumlah jaminan antara RM50,000 hingga RM80,000 degan alasan anak guamnya masih muda, mempunyai seorang anak masih bersekolah dan kini digantung kerja.

"Anak guam juga memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dan tiada rekod yang beliau mengganggu saksi. Apabila tidak ada perkara yang mengganggu perjalanan kes, saya percaya beliau akan hadir ke mahkamah secara teratur dan lancar," katanya.

Suzana kemudian membenarkan Iliyas diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan sebelum menetapkan 27 Julai untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel